Pemain tengah skuad kebangsaan Filipina, Iain Ramsay membuat keputusan saat akhir apabila menolak tawaran kelab Prachuap FC yang beraksi dalam Liga Thailand dan memilih untuk menyertai FELDA United yang beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini.
Pemain kelahiran Australia itu mengubah fikiran selepas mendapat pandangan positif daripada beberapa rakan senegara yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia.
“Pengalaman menyeronokkan diceritakan rakan seperti Brendan Gan (Perak) dan Matthew Davies (Pahang) sepanjang mereka beraksi di sini sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan saya.
“Malah Dino Djulbic yang mewakili FELDA musim lalu turut menceritakan perkara yang sama serta menggalakkan saya menyertai kelab itu.
“Apatah lagi kesempatan menentang FELDA ketika bersama kelab Ceres Negros dalam Piala AFC musim lalu memberi gambaran jelas kepada saya tentang kemampuan pasukan ini,” katanya seperti dipetik dalam Harian Metro.
Ketibaan Ramsay di Malaysia jelas melegakan jurulatih B Sathianathan sekali gus melengkapkan kuota empat pemain import FELDA yang dibarisi oleh tiga pemain dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes, Thiago Aquino Junior dan Gilberto Fortunato.
“Saya gembira akhirnya Ramsay memilih untuk menyertai FELDA selepas tawaran kami turut disaingi hebat oleh kelab Thailand. Malah laporan menyebut dia hampir pasti menyertai kelab itu.
“Saya mula terpikat dengan permainan Ramsay ketika dia mewakili Ceres Negros menentang FELDA dan JDT (Johor Darul Ta’zim) dalam Piala AFC musim lalu.
“Walaupun bermain di bahagian tengah, namun dia mempunyai kemampuan menjaringkan gol yang mana menjadi salah satu kelebihan dirinya.
“Malah pengalamannya beraksi dalam Liga Australia bersama Sydney Olympic, Melbourne City dan Adelaide United turut menjadi aset,” kata Sathia.
Ramsay telah bermain dengan kelab Ceres Negros FC dalam saingan Liga Bolasepak Filipina (PFL) musim ini dan berjaya membawa Ceres mara ke separuh akhir AFC Cup 2017.
Pemain yang berusia 29 tahun itu turut beraksi ketika Ceres menentang JDT dalam saingan separuh akhir dan perlawanan akhir AFC Cup 2017 peringkat Asean menentang Home United.
Ramsay memulakan karier bolasepaknya ketika berusia 17 tahun dimana beliau berhijrah ke Scotland iaitu negara kelahiran bapanya untuk menyertai kelab Gretna.
Kemudian beliau kembali ke Australia dan memulakan karier professionalnya beraksi dengan kelab A-League, Sydney FC sebelum menyertai Adelaide United pada tahun 2010 dan Melbourne City pada tahun 2013.
Pemain yang beraksi di posisi sayap kiri ini layak beraksi untuk skuad kebangsaan Filipina berdasarkan taraf warganegara ibunya. Beliau memperolehi cap yang pertama skuad kebangsaan Filipina pada tahun 2015 sebelum berhijrah menyertai kelab Liga Iran, Tractor Sazi pada tahun yang sama.
Selepas dilepaskan oleh Tractro Sazi, Ceres Negros menawarkan kontrak lumayan kepadanya untuk bermain dalam saingan Liga Filipina yang membolehkan beliau mendapat peluang untuk mewakili skuad kebangsaan Filipina.