Mohamed Salah memuatkan gambar dirinya berada di ruangan oksigen (hyperbaric chamber) pada Khamis untuk memastikan dirinya bebas daripada kecederaan menjelang derbi Merseyside menentang Everton Sabtu hadapan.
Selepas itu, khidmat Salah turut pasti ditagih oleh Jurgen Klopp untuk berhadapan dengan Manchester City dalam perlawanan timbal balik suku akhir UEFA Champions League (UCL).
Salah terpaksa dikeluarkan pada awal babak kedua perlawanan sebagai langkah berjaga-jaga, dan Klopp mengesahkan pemain antarabangsa Mesir itu mengadu tidak selesa ketika berada di atas padang.
Klopp turut berkata beliau berharap kecederaan yang dialami oleh ayam tambatan Liverpool ini tidak begitu serius, dan kemungkinan untuk Salah diturunkan beraksi menentang Everton adalah diragui.
Ruangan oksigen (Hyperbaric Chamber) untuk rawatan kecederaan
Penggunaan ruangan oksigen di dalam sukan untuk merawat kecederaan menjadi semakin meluas pada hari ini. Apakah yang perlu kita tahu mengenai rawatan kecederaan menggunakan ruangan oksigen ini?
Oksigen yang disalurkan di ruangan oksigen ini berada pada paras tekanan atmosfera rendah. Di dalam konteks sains, ia dipanggil ‘hyperbaric’.
Ia digunakan khas untuk mempercepatkan rawatan berkaitan kecederaan di dalam sukan seperti kecederaan akut terhadap otot akibat pelanggaran (lebam) dan terseliuh buku lali. Ia juga merupakan rawatan yang sesuai untuk kecederaan sendi, ligamen dan tendon.
Oksigen merupakan elemen penting di dalam sel tisu tubuh badan manusia. Tisu yang rosak (cedera) memerlukan sejumlah oksigen untuk untuk tujuan pemulihan. Kebiasaannya, tubuh badan menggunakan oksigen daripada air. Tahap ketumpatan oksigen yang lebih tinggi akan mempercepatkan proses rawatan.
Hari ini semakin ramai atlet samaada profesional atau amatur menitikberatkan proses pemulihan yang lebih pantas. Salah satunya ialah dengan bernafas menggunakan oksigen dengan bertekanan rendah (hyperbaric).
Kelebihan rawatan oksigen
Berikut adalah senarai kelebihan rawatan yang diperolehi melalui rawatan di ruangan oksigen sepertimana yang Mohamed Salah lakukan:
- Meningkatkan penyaluran oksigen ke bahagian yang cedera.
- Proses pemulihan lebih pantas di tisu lembut, ligamen dan rekahan pada kecederaan.
- Mengurangkan bengkak dan kesakitan.
- Mengelakkan hypoxia pada tisu yang tercedera. (Hypoxia ialah satu keadaan dimana jaringan tubuh kita mengalami kekurangan oxygen akibat masalah lain seperti pembuluh darah yang tersumbat).
- Meningkatkan keupayaan sel darah putih untuk membunuh bakteria sekaligus mengelakkan jangkitan.
- Mempercepatkan pemulihan prestasi dan kecergasan secepat mungkin.
Bagaimana ia dilakukan
Ruangan untuk tujuan pengambilan oksigen adalah bergantung kepada kemudahan yang disediakan oleh pusat rawatan atau kelab.
Proses pemulihan boleh dilakukan daripada seorang kepada 10 pada satu-satu masa, bergantung kepada kelengkapan yang dimiliki oleh pusat.
Proses rawatan tidak rumit. Malah ianya lebih mudah daripada yang anda sangkakan.
Pesakit atau pemain hanya perlu memakai topeng oksigen, dan bernafas seperti biasa ataupun berada di dalam ruangan oksigen dengan tekanan yang ditetapkan.
Tekanan oksigen yang ditetapkan ialah pada 2 atm. Manakala satu kitaran rawatan yang lengkap akan mengambil masa sekitar satu jam dan 30 minit.
Jenis ruangan oksigen (Hyberbaric Chamber)
Terdapat beberapa jenis ruangan oksigen untuk tujuan rawatan yang berada di pasaran.
1. Monoplace Chamber: Ruangan ini hanya membenarkan seorang pesakit untuk dirawat pada satu-satu masa. Pesakit perlu baring di ruangan yang disediakan, dan bernafas dengan kandungan oksigen yang ditetapkan.
2. Multiplace Chamber: Ruangan sebegini membenarkan sejumlah pesakit pada satu-satu masa. Berbeza dengan monoplace, multiplace membenarkan sejumlah pesakit untuk menjalani rawatan pada satu-satu masa.
Beberapa buah kelab bola sepak seperti Manchester United misalnya, menyediakan ruangan yang membenarkan pemain yang mengalami kecederaan bermalam di dalamnya untuk tujuan proses rawatan.
Penutup
Kecederaan pemain pada hari ini lebih mudah dan cepat untuk dipulihkan dengan adanya teknologi ruangan udara seperti ini.
Sudah tentu penggunaan ruangan oksigen juga tidak terhad kepada kecederaan yang berkaitan dengan sukan.