Jika anda ingin merasai pengalaman yang berbeza berbanding aksi Liga Super atau Liga Perdana. Apa kata anda luangkan sedikit masa dengan menonton perlawanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR).
LBR mungkin tidak seprestij Liga Super atau Liga Perdana, namun suasana yang disajikan oleh perlawanan-perlawanan LBR cukup menarik.
Baru-baru ini, saya sempat menonton perlawanan LBR diantara pasukan Hulu Langat fc dengan Cheras di Stadium Kajang, Selangor.
Buat pengetahuan semua, Hulu Langat FC dan Cheras merupakan 2 musuh tradisi di Selangor. Permusuhan 2 pasukan ini adalah atas faktor geografi yang menyaksikan 2 daerah ini saling bersebelahan dalam peta Selangor dan Kuala Lumpur.
Mereka sebelum ini sering bertemu perlawanan-perlawanan liga sosial. Dan pertemuan mereka tempoh hari adalah pertemuan sulung kedua-dua pasukan di pentas LBR.
Ketika perlawanan itu juga, saya berjumpa dengan jurulatih pasukan Hulu Langat iaitu Encik Arsyah Ayob yang merupakan ketua jurulatih HLFC.
HLFC bukan sebuah kelab biasa-biasa, mereka mempunyai impian dan aspirasi besar untuk menjadi salah sebuah kelab bola sepak terulung di Malaysia satu hari nanti.
Ikuti temu bual eksklusif saya dengan beliau.
SB: Boleh Encik Arsyah perkenalkan diri kepada pembaca kami?
HLFC: Nama saya Mohd Arsyah bin Mohd Ayob dan saya merupakan ketua jurulatih untuk HLFC. Saya telah menjadi ketua jurulatih untuk pasukan mereka sejak dari 2014.
Saya dahulu mempunyai pengalaman bermain di Liga Malaysia dari tahun 2002-2015. Saya pernah mewakili pasukan-pasukan seperti Perak, FELDA United, Sabah dan Sarawak.
Kemuncak karier saya adalah pada 2006. Ketika itu saya mewakili Perlis dan saya bersama mereka merangkul gelaran Piala Malaysia ketika itu.
SB: Apakah rahsia disebalik penubuhan HLFC?
HLFC: Pada mulanya, kami mahu mengambil alih pengurusan yang menjaga Hulu Langat FA. Namun begitu permohonan pihak kami hanya dipandang sepi oleh pihak mereka. Oleh itu pada 2008, Hulu Langat FC ditubuhkan.
Jangan keliru dengan Hulu Langat FA, kami memang sebuah entiti berbeza dengan mereka. Dana yang kami adalah menerusi penajaan dari pelbagai pihak.
Di awal penubuhan kami mempunyai presiden iaitu Allayahram Encik Hafzlizam. Namun selepas pemergian beliau, jawatan tersebut diisi oleh seorang bekas pemain kebangsaan iaitu Encik Nidzam Jamil (gambar bawah).
SB: Siapakah fan base bagi HLFC? Bagaimana dengan penerimaan mereka?
HLFC: Fan base untuk pasukan kami adalah warga Hulu Langat dan sekitar Kajang. Setakat ini mereka amat menerima pasukan ini sejak ia ditubuhkan.
SB: Bagaimanakah HLFC merekrut pemain ke dalam skuad HLFC?
HLFC: Kebanyakan pemain yang kami ada adalah pemain-pemain dari skuad yang memenangi SUKSES (Sukan Selangor) pada tahun 2015.
Dalam pada itu, kami juga ada melakukan open trial untuk mendapatkan pemain. Kami lebih mengutamakan pemain yang berasal dari Hulu Langat untuk mewakili pasukan HLFC. Namun kami tidak menutup sepenuhnya peluang untuk pemain dari luar Hulu Langat untuk mewakili pasukan ini.
SB: Apakah falsafah bola sepak serta bagaimana latihan HLFC dilakukan?
HLFC: Falsafah bola sepak kami adalah membina permainan dari bawah (build-up from deep) dengan menggunakan hantaran-hantaran pendek.
Kami juga mempunyai falsafah permainan dengan menggunakan bahagian sayap sebagai kunci utama serangan kami untuk mendapatkan gol.
Untuk latihan pula, 3 kali sesi latihan seminggu akan dilakukan untuk para pemain. Latihan-latihan tersebut akan diadakan pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat pada sebelah malam.
SB: Apakah pelan 5 tahun untuk pasukan HLFC?
HLFC: Dalam masa 5 tahun, kami mempunyai perancangan untuk mengembangkan pasukan kami dalam segala segi.
Selain daripada itu, kami juga mahu mendaki sedikit demi sedikit di dalam piramid bola sepak Malaysia. Kami mensasarkan untuk memenangi LBR untuk memperoleh promosi ke Piala FAM.
Dan selepas itu, kami ingin terus naik ke liga yang lebih atas di masa hadapan.
SB: Soalan terakhir, bagaimana peminat bola sepak mahu mendapatkan info terkini mengenai HLFC?
HLFC: Para peminat bola sepak boleh mendapatkan info terkini mengenai HLFC di laman Facebook kami. Selain itu kami juga aktif di laman Instagram kami.
Jika anda aktif di Twitter, anda juga boleh ikut kami di laman Twitter kami.
Kesimpulan
Apa yang boleh saya simpulkan adalah HLFC adalah sebuah pasukan kerdil yang memasang impian tinggi ingin pergi jauh dalam bola sepak Malaysia.
Mereka ingin sebuah pasukan kebanggaan warga Hulu Langat. Samalah seperti apa yang cuba dilakukan oleh Shah Alam Antlers yang mahu menjadikan pasukan mereka sebagai pasukan kebanggaan warga Shah Alam.
Saya berharap agar HLFC akan berjaya di saingan LBR dan mara jauh sehingga ke tahap yang tertinggi.
Semoga berjaya, Hulu Langat FC!
Baca juga: Soljabiru FC: Bagaimana Kelab Penyokong Chelsea Malaysia Lahirkan Kelab Bola Sepak Sendiri