Manchester United terpaksa menerima hakikat akan beraksi di saingan UEFA Europa League pada musim hadapan setelah diikat 1-1 oleh pasukan yang sudah tersingkir ke divisyen bawahan sejak Mac lalu, Huddersfield.
The Terriers sebelum ini hanya mengutip empat mata daripada 23 perlawanan terdahulu. Namun dihadapan pengerusi kelab, Dean Hoyle yang akan meninggalkan mereka – Huddersfield mencatat keputusan seri setelah gol pertama Isaac Mbenza untuk kelab tersebut berjaya memadam pendahuluan yang dilakukan oleh Scott McTominay pada babak awal perlawanan.
Manchester United cuba untuk menamatkan perlawanan ini dengan kemenangan, menyaksikan percubaan deras pemain muda diselamatkan penjaga gol, dan rembatan Paul Pogba sekadar menyinggahi palang.
Minit akhir perlawanan turut menyaksikan David de Gea menyelamatkan percubaan Karlan Grant untuk menafikan elemen kejutan memalukan – dalam musim serba tidak kena sejak Ole Gunnar Solskjaer dilantik sebagai pengurus tetap pasukan.
Keputusan seri ini bermakna United kini sudah tanpa sebarang kemenangan sejak lima perlawanan lalu – turutan paling buruk yang pernah dilalui sejak rekod tanpa kemenangan dalam lapan perlawanan di era Louis van Gaal pada November sehingga Disember 2015.
Keputusan ini juga bermakna Manchester United tidak mungkin akan menyamai mata terkumpul yang dimiliki oleh Tottenham dan Chelsea yang berjaya melonjak ke tangga ketiga pada minggu ini setelah mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Watford di Stamford Bridge.
R. Lotftus Cheek memberikan pendahuluan buat Chelsea tiga minit selepas babak kedua bermula, sebelum David Luiz dan Gonzalo Higuain memastikan tiga mata berharga menjadi milik mereka.
Arsenal pula semakin pasti menyertai United untuk beraksi di saingan Europa League – selepas sekadar terikat 1-1 menentang Brighton dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung lewat malam tadi.
Pierre-Emerick Aubameyang meletakkan Arsenal di hadapan melalui sepakan penalti setelah Nacho Monreal dikasari oleh Alireza Jahanbakhsh di dalam kotak penalti pada minit ke-9 perlawanan.
Namun Brighton berjaya mengikat kelab London itu juga melalui sepakan penalti Glenn Murray setelah Granit Xhaka dipersalahkan kerana mengasari Solly March.
Arsenal bagaimanapun masih mempunyai peluang untuk beraksi di pertandingan UEFA Champions League pada musim hadapan sekiranya mampu menjuarai UEFA Europa League pada musim ini.