Bojan Hodak: Tipulah Kalau Kami Tidak Mahu Ke Piala Dunia B-20

Bojan Hodak

“Ini pasukan terbaik yang saya ada selepas menguji pemain selama setahun. Sebelum ini kebanyakan pemain tidak memiliki pengalaman tapi mereka semakin meningkat dan berjaya memenangi Piala AFF dan layak ke pusingan akhir AFC.”

Itu merupakan komen ketua jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak kepada Berita Harian mengenai barisan pemainnya yang bakal bersaing di Kejohanan AFC B-19 bermula 18 Oktober ini.

Skuad muda negara akan berlepas ke Doha pada Jumaat ini untuk satu aksi pemanas badan menentang Qatar B-19. Sebelum ini mereka telah berkampung di Oman pada awal September lalu.

Walaubagaimanapun, Hodak tetap tidak mahu terlampau yakin dengan kemampuan pemainnya dan menjadikan nasib yang menimpa skuad B-16 baru-baru ini sebagai pengajaran.

“Skuad B-16 membuat persiapan agak lama empat hingga ke lima tahun dan mereka juga disediakan dengan bajet begitu besar. Namun ia tidak buat pasukan saya, jadi untuk meletakkan sasaran layak ke Piala Dunia bagi saya cukup tinggi dan sukar sama sekali.

“Malah, pada majlis undian kumpulan, kita hanya diletakkan dalam balang empat kerana ranking kita jauh di belakang pasukan-pasukan lain.

“Maka, saya beranggapan kita perlu realistik dan bermula sebagai pasukan ‘underdog’ dengan cuba mencipta kejutan pada setiap perlawanan,” ujarnya yang berasal daripada Croatia itu lagi.

B-19, Bojan Hodak
Foto: FAM

Bercakap kepada Berita Harian, Hodak menjelaskan yang dia akan bersikap lebih realistik dalam menentukan hala tuju pasukannya dalam kejohanan yang bakal berlangsung di Indonesia itu.

Sebagaimana dalam saingan B-16 tempohari, kejohanan ini turut menawarkan 4 tiket automatik untuk ke Piala Dunia B-20 yang dijadualkan bakal berlangsung pada 2019 di Poland.

“Tipu kalau saya katakan barisan pemain dan jurulatih tidak mahu pergi ke Piala Dunia B-20, tetapi saya meminta kepada mereka supaya ambil satu demi satu perlawanan dan berikan aksi yang terbaik,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai ‘sambutan’ yang bakal diterima daripada penyokong Indonesia terhadap skuad negara, Hodak tampak tidak mahu ia mengganggu fokus dan aksi para pemainnya.

“Saya fikir kami tiada masalah untuk ke sana, malah kami tidak bermain dalam kumpulan yang sama dengan Indonesia, biasanya masalah hanya akan berlaku bila bermain menentang mereka,” ujarnya kepada Berita Harian.

Skuad bimbingan Hodak sudah memulakan kem latihan fasa akhir di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Khamis lalu, diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara dua kali Arab Saudi (1986, 1992), China (1985) dan Tajikistan.

Hodak berjaya membawa pasukan muncul juara Piala AFF Julai lalu, bakal berdepan Arab Saudi pada aksi pertama 20 Oktober ini, diikuti menentang Tajikistan 23 Oktober sebelum menamatkan aksi kumpulan bertemu China tiga hari kemudian.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN