Mexico baharu sahaja mengejutkan juara Piala Dunia 2014, Jerman dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F apabila menang dengan keputusan 1-0 pada Ahad lalu.
Mereka juga meneruskan rentak baik mereka dengan menghantar pulang semifinalis Piala Dunia 2002, Korea Selatan lewat malam tadi. Mexico semakin menghampiri saingan suku akhir.
Dalam pada itu, bapa kepada penjaring gol kemenangan Mexico ke atas Jerman, Hirving Lozano mengesahkan juara La Liga musim lalu, Barcelona ada menghubungi pihaknya.
“Ya, memang ada tawaran daripada Barca namun semuanya masih belum jelas lagi. Kita akan berbincang selepas Piala Dunia berakhir,” dedah bapa Lozano yang juga ejennya.
https://twitter.com/352_Daily/status/1010185903669698561
“Saya rasa lepas Piala Dunia kita akan berdepan dengan realiti, sama ada dia akan kekal bersama PSV ataupun dia akan berpindah ke kelab lain,” tambahnya lagi kepada ESPN.
Lozano yang berusia 22 tahun itu kini sedang beraksi bersama juara Eredivisie, PSV Eindhoven dan merupakan pemain sayap yang laju serta memiliki rembatan kaki kanan yang padu dan tepat.
Dia sebenarnya telah menjadi sasaran beberapa kelab besar dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dan pada musim lalu, PSV telah berjaya mendapatkannya dengan kontrak 6 tahun.
Manchester United merupakan salah satu kelab yang dikatakan pernah menyatakan minat untuk mendapatkannya ketika dia masih beraksi bersama kelab di Mexico, Pachuca.
Pada Julai 2016, bapa mertuanya memaklumkan kepada Futbol Entre Lineas bahawa menantunya itu akan menyertai United sejurus berakhir Sukan Olimpik 2016.
Walaubagaimanapun, pemain yang digelar El Chucky di negaranya itu tidak mahu mengesahkan apa-apa mengenai perpindahannya itu sebagai respon kepada berita tersebut.
Baru-baru ini, dia dikaitkan dengan perpindahan ke Everton namun selepas aksi menakjubkan ketika menentang Jerman, pasti akan menarik lebih banyak kelab lain untuk membidanya.
Terbaharu, menurut laporan dari Calcio Mercato, Real Madrid dan Juventus kini sudah menyertai perlumbaan untuk mendapatkan tandatangan bintang muda Mexico ini.
Lozano telah meledak 17 gol dalam 29 penampilannya bersama PSV dan merupakan penjaring terbanyak buat kelabnya. Adakah PSV akan mudah melepaskannya kepada Barcelona?