‘Hint TMJ Jadi Kenyataan?’ – Syahmi Safari Bakal Angkat Kaki Tinggalkan Selangor FC

Pemain pertahanan Selangor FC, Syahmi Safari dilaporkan bakal meninggalkan Selangor FC selepas tamat saingan Piala Malaysia pada musim ini.

Perkara itu didedahkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melalui satu ciapan di Twitter lewat petang semalam.

Pemain bek sayap skuad Harimau Malaya itu sebenarnya masih mempunyai baki kontrak bersama gergasi Lembah Klang itu sehingga musim 2023.

Penamatan kontrak

Namun Syahmi dilaporkan akan menjadi ejen bebas pada penghujung musim ini selepas pemain itu dan pihak kelab bersetuju agar baki kontrak selama dua musim ditamatkan atas persetujuan bersama.

Kenyataan tersebut bermakna Syahmi akan beraksi buat kali terakhir buat pasukan Selangor FC menentang Kuala Lumpur City FC pada sekiranya skuad kendalian Karsten Neitzel gagal memperolehi keputusan positif untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia pada malam ini.

Skuad yang terkenal dengan jolokan The Red Giants itu tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia pada hujung minggu lalu.

Bakal beraksi di gelanggang lawan pada malam ini, Selangor kini perlu mendapatkan tiga jaringan tanpa bolos untuk melayakkan diri secara agregat untuk menjadi empat pasukan terbaik pertandingan Piala Malaysia pada musim ini.

‘Hint’ TMJ benar

Perkhabaran Syahmi bakal meninggalkan Selangor FC itu sebenarnya bukan perkara yang mengejutkan penyokong bola sepak tanah air.

Ini kerana sebelum ini, perkara itu pernah dibayangkan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini melalui satu hantaran di Instagram Malayantiger.Co.

Syahmi Safari sebelum ini telah dipertanggungjawabkan sebagai kapten pasukan Selangor FC setelah kecederaan yang menimpa Brendan Gan.

Telahan “captain keluar” telah menjadi bualan ramai apabila ada yang mengandaikan bahawa Syahmi akan berhijrah ke pasukan lain.

Komen TMJ pada ketika itu masih menimbulkan tanda tanya peminat, namun akhirnya perkara itu terjawab selepas Syahmi disahkan tidak akan kekal bersama Selangor selepas ini.

Perkara itu diperkukuhkan lagi apabila Selangor FC membawa kembali Quentin Cheng yang pada musim ini dipinjamkan kepada Penang FC.

Tiada sebab jelas dinyatakan mengapa Syahmi mahu meninggalkan juara 33 kali Piala Malaysia itu, dan hala tuju seterusnya buat pemain itu selepas ini.

Anak jati Kuala Selangor berusia 23 tahun produk Sekolah Sukan Bukit Jalil itu menyertai Selangor pada 2015 sebelum diserap ke skuad utama pada 2017. Sehingga kini Syahmi telah melakukan lebih daripada 100 penampilan untuk Selangor.

Prestasi cemerlang bersama pasukan negeri kelahirannya berjaya mencuri perhatian pengendali pasukan negara, Tan Cheng Hoe sehingga menjadi nadi penting pasukan negara di Piala AFF Suzuki 2018.

Antara momen terbaik Syahmi di pentas antarabangsa pula adalah jaringan ‘wonder goal’ dalam perlawanan menentang Thailand.

Rembatan deras kaki kanan dari luar kotak penalti oleh Syahmi Safari itu telah dinobatkan sebagai pemenang Gol Terbaik Piala Suzuki AFF 2018.

Leave a Reply