Ia adalah detik hitam dalam sejarah bola sepak Perak. Tersingkir ke Liga Premier selepas mereka tewas 2-1 kepada Melaka United di Stadium Hang Jebat. Selepas 21 perlawanan, mereka hanya mengumpul 13 mata.
Kenyataan itu sememangnya perit, tetapi ia mungkin cara terbaik untuk pasukan ini ‘bermuhasabah’ dan memperbaiki segala ‘kehancuran’ yang telah berlaku.
Pada musim ini, skuad The Bos Gaurus jelas huru-hara dan tidak mempunyai hala tuju sehingga bergelut sejak dari awal musim sehinggalah mereka sah ‘diterajang’ keluar buat kali pertama sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS21
Dengan keputusan malam ini, Perak FC tersingkir ke Liga Premier pada musim depan.#LigaSuper2021 pic.twitter.com/zgpXG54ZBI
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 3, 2021
Bagaimanapun setiap yang berlaku, pastinya ada hikmah di sebaliknya. Melihat kepada bencana yang melanda Perak pada musim ini, ia adalah satu isyarat dan patanda jelas bahawa satu tindakan drastik perlu dilakukan.
Tanpa ada perancangan teliti untuk membina rangka pasukan yang kukuh, tiada apa yang mereka mampu lakukan. Lihat sahaja bagaimana pasukan mereka terpaksa ‘mengemis’ sepanjang musim ini mengharapkan dana dari kerajaan negeri untuk menampung perbelanjaan pasukan.
Jika kekal di Liga Super musim depan, tentunya sekali lagi mereka sukar untuk mendapatkan dana yang mencukupi untuk menampung kos operasi pasukan untuk tempoh sepanjang tahun.
'Tolong Kami, Bantu Kami' – Perak FC Cari Penaja Untuk Selesai Isu Tunggakan Gaji https://t.co/bUhuOh5cOL
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 8, 2021
Jika gaji pemain skuad utama pun tidak mampu diselesaikan, bagaimana pula dengan perbelanjaan untuk skuad simpanan Perak II, Piala Presiden, Piala Belia dan sebagainya? Tentunya ibarat hidup segan mati tak mahu.
Apakah tujuan penswastaan kalau bukan untuk meningkatkan nilai pasukan yang dapat meyakinkan pelbagai pihak untuk menjadi penaja.
Perak tidak perlu terburu-buru menyasarkan untuk kembali ke Liga Super. Beraksi di Liga Premier meletakkan pasukan itu dengan tekanan yang jauh lebih rendah. Ia membolehkan mereka memperkemaskan semua aspek terutamanya pengurusan dan kewangan.
'Bola Sepak Adalah Sukan Rakyat' – Teguran 'Makan Dalam' Sultan Nazrin Kepada Pengurusan Perak FC https://t.co/Kkxf5Q6b7s pic.twitter.com/hN4gjDONZM
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 10, 2021
Sebagai contoh mungkin boleh lihat bagaimana pasukan Kelantan yang diambil alih oleh Norizam Tukiman yang meletakkan sasaran yang realistik, iaitu membawa kembali skuad The Red Warriors (TRW) ke saingan Liga Super dalam tempoh tiga tahun.
Walaupun tempoh itu dianggap agak lama, tetapi ia jauh lebih baik daripada berada dalam tekanan dan mengharapkan kejayaan dalam masa singkat.
Susun semula program pembangunan akar umbi, lahirkan pemain-pemain muda berbakat, tambah baik kemahiran staf dari segi pengurusan dan teknikal dan perkemaskan infrastruktur yang dimiliki pasukan.
Jauhkan pasukan ini dari tangan-tangan orang politik. Carilah seorang pemimpin baharu yang boleh menentukan hala tuju pasukan dan mendapatkan kembali kepercayaan penyokong.
Ukur baju di badan sendiri, usah amalkan sikap biar papa asal bergaya. Dalam kehidupan, dua peribahasa Melayu ini adalah untuk kita hayati sebaiknya.
Selamat datang Perak ke Liga Premier.