Pengendali skuad kebangsaan Wales, Ryan Giggs cemerlang pada aksi kompetitif pertama beliau apabila anak buahnya berjaya menundukkan Ireland 4-1 dalam aksi UEFA Nations League di Stadium Cardiff.
Wales tidak menunggu lama untuk berada di hadapan setelah Tom Lawrence yang menerima hantaran cantik dari Joe Allen berjaya melepasi kawalan pertahanan Ireland sekaligus menyudahkan peluang untuk jaringan pembukaan seawal minit ke-6.
Gareth Bale kemudiannya melebarkan kedudukan pada minit ke-18 dengan ledakan menarik dari luar kotak penalti dilakukannya yang terus melencong masuk bagi menewaskan penjaga gol lawan, Darren Randolph.
Tidak cukup dengan itu, Aaron Ramsey terus menambah luka buat skuad Ireland yang dibimbing Martin O’Neill.
Hasil lorongan pemain muda Chelsea, Ethan Ampadu, Ramsey yang melepaskan rembatan rendah dalam kotak penalti terus mengecewakan Randolph di gawangnya.
Wales selesa mendahului 3-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Ketika perlawanan baru sahaja sepuluh minit bersambung, Connor Roberts mematikan sisa perjuangan Ireland dengan rembatan dari luar kotak penalti yang terus menerjah jaring.
Pemain gantian, Shaun Williams berjaya menghadiahkan jaringan saguhati buat Ireland pada minit ke-65 untuk perlawanan tamat dengan keputusan 4-1 memihak Wales.