Pemain antarabangsa Wales, Gareth Bale memainkan peranan penting dalam membantu Real Madrid memenangi perlawanan sulung saingan La Liga 2018/19 selepas menewaskan Getafe 2-0 di Santiago Bernabeu.
Perlawanan itu juga menyaksikan kehadiran penyokong terendah bagi menyaksikan perlawanan La Liga buat Real Madrid sejak 10 tahun.
Pemergian Cristiano Ronaldo ke Juventus dilihat menjadi penyebab utama kepada penyusutan angka kehadiran penyokong ke stadium keramat tersebut.
Bagaimanapun, ia tidak merentap semangat skuad bimbingan jurulatih baharu, Julen Lopetegui untuk bertindak garang bagi meraih kemenangan sulung ini.
Real Madrid begitu mendominasi permainan dengan baik sejak awal permainan dengan gerakan-gerakan berbahaya dilancarkan.
Buktinya apabila tiada serangan dapat dicipta Getafe pada 45 minit pertama.
Jaringan pembukaan perlawanan dihasilkan pada minit ke-20 berpunca daripada usaha Gareth Bale di sebelah kanan pintu gol pelawat yang menghantar bola ke hadapan gol mencari Karim Benzema.
Bola yang berjaya dikeluarkan penjaga gol Getafe, David Soria itu bagaimanapun singgah tepat di kepala Dani Carvajal yang terus menanduk lambung bola untuk membuka tirai jaringan.
Gareth Bale yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo pada musim ini meledak jaringan untuk mengukuhkan kedudukan pada minit ke-51.
Bale yang tidak dikawal pemain pertahanan skuad pelawat meledakkan rembatan dari jarak dekat selepas menerima hantaran lintang dari Marco Asensio.
Dua jaringan pada setiap babak itu memberikan permulaan yang baik buat Lopetegui dalam memulakan saingan La Liga selepas anak didiknya tewas di tangan Atletico Madrid pada Euro Super Cup tempoh hari.