Liverpool muncul juara UEFA Champions League buat kali ke-6 di dalam sejarah kelab tersebut, selepas menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 dalam perlawanan pada awal pagi tadi.
Selesa mendahului melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Mohamed Salah seawal minit ke-2 perlawanan, Liverpool berjaya mengawal ancaman pemain-pemain Spurs pada babak pertama perlawanan untuk mengekalkan kelebihan.
Virgil van Dijk dan juga Alisson Becker nyata kental di bahagian pertahanan dan gawang untuk menafikan ancaman Son Heung-Min, Dele Alli, Lucas Moura dan juga Harry Kane.
Kemenangan Liverpool akhirnya disahkan oleh penyerang dari Belgium, Divock Origi pada minit ke-87 perlawanan, selepas dibawa masuk menggantikan Roberto Firmino pada minit ke-58.
Tottenham pula hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan peluang yang dimiliki – selain daripada kesukaran untuk melakukan gerakan akibat disiplin pertahanan yang ditunjukkan Liverpool.
Kejayaan ini menebus kekecewaan Liverpool yang ditewaskan oleh Real Madrid di peringkat yang sama pada musim lalu.
Ia juga adalah kejuaraan pertama Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp – sejak tiba bergelar pengendali di Anfield pada 2015.
Perlawanan akhir ini juga adalah yang ke-3 buat Klopp sejak pertama kali membawa Borussia Dortmund ke pentas yang sama pada musim 2012/13 – namun hanya mengecapi kejuaraan bersama Liverpool pada musim ini.
Bagi anda yang ketinggalan perlawanan pada awal pagi tadi, kami sediakan rangkuman untuk anda melalui pautan di bawah: