Fernando Hierro dilantik untuk menjadi ketua jurulatih Sepanyol sebaik sahaja Lopetegui dipecat, 48 jam sebelum perlawanan pertama Sepanyol di Piala Dunia.
Fernando Hierro bukan nama asing dalam bola sepak Sepanyol. Sergio Ramos sangat lega dengan perlantikan Fernando Hierro, kerana menurut Ramos, tidak ramai yang lebih bagus daripada Hierro buat masa ini untuk menjadi bidan terjun.
Ini kerana Fernando Hierro banyak bersama dengan mereka. Hierro adalah pengarah sukan pasukan Sepanyol.
Berkongsi kepada wartawan tentang persiapan pasukan Sepanyol menentang Portugal, Fernando Hierro menyatakan yang persiapan itu sudah dibuat lebih awal sebelum mereka tiba di Rusia.
Di Rusia beliau mahu mengekalkan segala perancangan dan gaya permainan Sepanyol seperti yang telah mereka pamerkan sepanjang kempen kelayakan.
Ini kerana beliau merasakan, sebarang perubahan yang major dalam persiapan akan mempengaruhi permainan mereka. Ia berisiko.
“Saya tidak boleh mengubah apa sahaja yang ada di dalam pasukan ini sesuka hati. Saya akan cuba memastikan perubahan itu dilakukan seminimum mungkin atas dasar keperluan semasa.”
“Ini cabaran yang bagus dan mengujakan juga. Selepas ini saya akan mengambil segala tanggungjawab dengan berani, tiada cara lain lagi.”
“Kita ada kelompok pemain yang berada dalam kerbersatuan selama 2 tahun untuk bekerja demi Piala Dunia ini dan saya juga menjadi Pengarah Sukan sepanjang tempoh itu. Motivasi kami semua sangat tinggi.”
“Kita tak boleh tukar segala kerja keras kita 2 tahun ini. Anda akan tetap menyaksikan pasukan Sepanyol yang sama.”
“Menjelang perlawanan menentang Portugal, kami tiada ruang sangat untuk melakukan sebarang perubahan. Kata kuncinya, cuba melakukan perubahan dalam kadar sekecil yang mungkin.”
Perlawanan jiran tetangga, Sepanyol dan Portugal adalah antara perlawanan paling mencuri tumpuan dalam Piala Dunia kali ini.