Heynckes: Kualiti Pengurusan Dan Kuasa Autoriti Yang Membangunkan Bayern Munich Dari Lena

Bayern Munich sudah pun disahkan menjadi juara Bundesliga pada awal April untuk rekod 6 kejuaraan berturut-turut. Mereka memulakan musim ini dengan pelbagai masalah dan isu pemain yang memberontak.

Pada Oktober 2017, mereka 5 mata di belakang Borussia Dortmund di Bundesliga dan tewas di tangan PSG dalam perlawanan peringkat kumpulan UCL.

Bayern Munich kemudian memujuk Jupp Heynckes untuk keluar daripada persaraan dan membantu Bayern Munich sebagai interim. Bukan senang untuk menggantikan Ancelotti.

Berikut adalah 3 perkara penting yang beliau lakukan untuk mengembalikan kekuatan Bayern Munich.

1) Pengurusan manusia (man management)

Pada September 2017, skuad Bayern Munich bergolak di bilik persalinan. Beberapa pemain senior tidak berpuas hati dan bertengkar dengan Ancelotti.

Arjen Robben menuduh, latihan Ancelotti terlalu ringan dan memberikan impak kepada kecergasan serta kecederaan pemain. Ini selepas mereka terbiasa dengan latihan intensif di bawah Guardiola. Thomas Muller kemudian diarahkan duduk di bangku simpanan kerana mempersoalkan beberapa perkara.

Di tangan Heynckes, beliau berjaya mengawal semula pemain ini. Beliau memberitahu:

“Saya bukan orang yang mudah tunduk dengan pemain dalam tugasan saya. Saya mahu pemain tahu yang saya ada kuasa jurulatih, mereka harus mengikut arahan saya.”

“Semua orang akan gembira kalau menang dan dalam prestasi yang baik. Itu yang kita cuba bina, pasukan yang berada dalam prestasi terbaik.”

Heynckes memasukkan semula Muller ke dalam kesebelasan utama dan berjaya mendapatkan hasil lebih baik daripada James Rodriguez yang kini sudah melakukan 10 ‘assist’ dan 6 gol.

James menyatakan, komunikasi yang mudah dengan Heynckes banyak membantu beliau. Tambahan pula, Heynckes boleh berbahasa Sepanyol dengan lancar.

2) Disiplin

Sebelum mendisiplinkan pemain, beliau mendisiplinkan dirinya dan para jurulatih. Beliau dan staf kejurulatihan sentiasa menunjukkan contoh terbaik di hadapan pemain.

Carlo Ancelotti pernah diberikan amaran kerana merokok di persekitaran kompleks sukan Bayern Munich.

Selepas itu, Heynckes menambah beberapa peraturan baru dalam kem Bayern Munich untuk membantu pemain lebih bersemangat berpasukan.

Antaranya adalah, pemain perlu membersihkan bilik persalinan terutama sekali loker mereka sebelum meninggalkan bilik tersebut. Beliau juga melarang pemain membawa telefon bimbit di gym, padang latihan, sesi taklimat dan juga ketika makan. Semua kesalahan akan tertakluk kepada tindakan disiplin termasuk denda.

Sebelum ini ramai pemain suka bermain telefon ketika makan. Di bawah kendalian Heynckes, jangan kata nak main telefon pintar, letak telefon pintar di atas meja pun akan dikenakan tindakan disiplin.

Seterusnya, para pemain tidak boleh lewat dan tidak dibenarkan jalan melenggang. Mereka harus bergerak seperti seorang atlet dan bukannya seperti orang yang malas baru bangun pagi.

Mats Hummels berkata:

“Coach sentiasa melayan kami sama sahaja, tiada tag pemain kelas dunia ataupun pemain biasa. Kesemua orang perlu hormat peraturan. Disiplin adalah perkara yang sangat ditekankan oleh beliau.”

“Apabila berjumpa dengan kami di pusat latihan, beliau akan bercakap terus dengan kami secara ringkas dan terang benda yang beliau tak suka dan benda yang beliau mahu kami teruskan.”

Heynckes juga sudah mengingatkan semua pihak yang tiada keraian kejuaraan berlebihan selepas mereka disahkan juara. Pemain perlu pulang ke rumah, tidur awal dan fokus kepada perlawanan UCL dan Piala DFB.

Keraian itu hanya boleh dilakukan pada akhir musim. Barulah pemain boleh meluangkan masa bersama dengan kelonggaran tertentu.

Ini bukanlah wayang untuk musim ini sahaja. Kerana, pada 2012/13 beliau mengarahkan keraian awal kejuaraan dibatalkan supaya pemain fokus kepada perlawanan Piala DFB serta UCL. Mereka mencipta treble musim tersebut.

Hummels memberitahu, Heynckes bukan seorang yang banyak bercakap tetapi beliau sentiasa tahu apa yang perlu dicakapkan.

3. Perubahan taktikal (Tactical tweaks)

Heynckes melakukan satu perubahan kecil yang memberikan impak besar kepada taktikal pasukan mereka. Beliau tidak ego untuk menukar kesemua taktikal yang sudah diterapkan Ancelotti. Cukuplah menukar apa yang perlu sahaja.

Beliau menarik Javi Martinez ke posisi tengah defensif berbanding dengan bek tengah pada era Ancelotti. Beliau memberitahu wartawan:

“Pemain seperti ini perlu bermain dalam posisi yang banyak menggunakan kaki (leg work). Jadi posisi tengah defensif adalah pilihan lebih baik berbanding bek tengah.”

“Sejak dia bermain di peranan no.6, pasukan kami telah memperbaiki aspek stabiliti dan kualiti ketika bertahan.”

 

Heynckes menyediakan satu pelan rapi untuk pemain veteran sepertu Robben dan Ribery. Minit perlawanan dirancang sebaik mungkin supaya 2 pemain ini tidak terlebih dipakai ataupun terlalu kurang minit yang akan memberikan impak kepada penurunan ‘peak’ mendadak.

Setakat ini, 2 pemain ini sudah menjaringkan 10 gol dan 8 bantuan gol. Lewandowski dan Sandro Wagner kerap digilirkan dalam pasukan. Ini untuk memastiak Sandro tidak hanya terperap di bangku simpanan.

Beliau juga sentiasa cuba membantu pemain untuk mencapai hasrat mereka bermain dalam pasukan kebangsaan untuk kejohanan tertinggi. Itulah jiwa sebenar seorang jurulatih.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN