Dua pemain import sudah diikat oleh pencabar baharu Liga Super, Negeri Sembilan yang dilihat berwajah baharu bagi mengharungi musim 2022.
Firdaus Bhari selaku Pengurus Besar Negeri Sembilan berkata, Herold Goulon yang pernah mewakili Sri Pahang dan seorang muka baharu, David Gordon Mawutur yang berasal dari Ghana bakal memperkuat pasukan untuk musim ini sebagai status pemain import mereka.
Jelas beliau, kedua pemain tersebut sah mengikat kontrak bersama Negeri Sembilan selama satu musim dan bakal memperkuatkan pasukan bagi mencabar pasukan lain di Liga Super.
“Negeri Sembilan akan menggunakan khidmat lima pemain import seperti yang diperuntukkan dan tiga lagi pemain itu sedang diteliti pihak barisan kejurulatihan pasukan.”
Tambah beliau lagi,”kita yakin dapat melengkapkan senarai semua pemain menjelang bulan depan. Setakat ini senarai pemain tempatan sudah lengkap.”
Mengenai kedua import tersebut, Firdaus yakin dengan kehadiran Goulon mampu meningkatkan kualiti pertahanan pasukan berdsarkan aksi pemain tersebut sebelum ini bersama Sri Pahang.
“Goulon pernah mewakili kelab terkenal Middlesbrough dan Blackburn Rovers ketika di awal permulaan kariernya dan pengalamannya bersama Sri Pahang dijangka akan dapat membantu memudahkan perancangan pasukan membentuk skuad mantap bagi menghadapi cabaran Liga Super. “
Manakala Mawutur pula bakal beraksi di bahagian tengah pasukan dan Firdaus berharap pemain ini dapat memperkuatkan jentera tengah pasukan. Pemain ini pernah mewakili kelab Istiklol FC dan Wisla Krakow sebelum sah bersama Negeri Sembilan untuk musim ini.