Hernan Crespo yang pernah beraksi untuk pasukan Chelsea, AC Milan dan Inter Milan mengakui beliau berhajat untuk kembali ke England untuk menjadi pengurus pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) atau EFL Championship.
Melihatkan kepada pencapaian Marcelo Bielsa yang berjaya membawa Leeds United ke kancah EPL musim hadapan, Crespo turut menyimpan hajat besar untuk mengembangkan karier pengurusannya di England.
Ketika menyarung jersi Chelsea, bekas penyerang kelahiran Florida Este, Argentina itu berjaya menjaringkan 20 gol dalam 49 penampilannya dalam kempen liga.
Keadaan itu membuatkan Crespo merasai dirinya akan cukup selesa sekiranya beliau kembali ke England dengan tugasan yang berbeza pada ketika ini, iaitu sebagai seorang pengurus.
”Saya sangat gembira bermain di England, pergi ke sesi latihan, sangat gembira dengan para penyokong di sini,” ujar Crespo menurut Laporan Goal.
”Kerana itulah saya pada hari ini sebagai seorang pengurus , saya ingin untuk mengembalikannya [kembali ke England]. Saya amat mengagumi Liga Perdana Inggeris dan juga [EFL] Championship.”
”Menjadi jurulatih adalah satu perkara yang indah. Berada di samping Jose [Mourinho] di Chelsea dan Inter Milan, saya telah belajar mengenai tentang pengurus dalam 360 darjah.”
”Bagaimana cara anda berhadapan dengan wartawan, doktor, pemain, kakitangan pasukan, suasana persekitaran, penyokong, dan dengan segalanya. Terdapat tiga orang pengurus [Mourinho, Bielsa dan Carlo Ancelotti] telah membuka minda saya untuk perkara-perkara tertentu,” tambah Crespo lagi.
Hernan Crespo yang mengumumkan persaraannya dari kancah bola sepak profesional pada November 2012, kini bertindak selaku pengurus kelab Superliga Agentina, Defensa y Justicia yang menamatkan saingan liga musim 2019/20 di kedudukan keenam.
Kredit featured image: Pascal Le Segretain/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Liga Perdana Inggeris: