Mungkin bagi yang menyaksikan dua perlawanan melibatkan Sri Pahang FC, mereka akan mempersoalkan aksi penjaga gol, Helmi Eliza yang mudah memberikan gol.
Dalam perlawanan berdepan Selangor FC dan Perak FC, Helmi Eliza dilihat mudah memberikan gol buat lawan dan ini menjadi punca kepada dua kekalahan mereka. Skuad Tok Gajah tumbang 1-3 kepada Selangor dan 0-2 kepada Perak, pada Rabu.
Gol tandukan oleh Shahrel Fikri ketika bertemu The Red Giants, gol percubaan leret pemain Perak, J. Partiban dan ‘blunder’ yang dibuat ketika melepaskan gol kedua Perak oleh Farhan Roslan adalah tiga kesilapan besar Helmi Eliza sepanjang dua aksi.
Hantaran jauh De Paula gagal dibaca Helmi Eliza yang meluru keluar dari kotak penalti. Farhan menolak mudah ke dalam gawang gol yang sudah terhidang. Kesilapan besar dari bekas penjaga gol kebangsaan.
Sri Pahang 0-2 Perak FC#LigaSuper2021
— CakapSukan (@CSukan) March 10, 2021
Adakah penjaga gol berusia 38 tahun itu akan kekal dipertaruhkan oleh pengendali, Thomas Dooley untuk diturunkan menghadapi Melaka United pada Sabtu?
Melihat kepada kenyataannya pada sidang media selepas tewas kepada The Bos Gaurus di laman sendiri, Thomas Dooley mungkin akan merombak sedikit pemainnya di gawang dan jentera serangan walaupun baginya mereka sudah bermain baik.
“Bagi saya, penjaga gol perlu menang dalam tiga, empat perlawanan semusim. Jadi, jika kita mendahului dan dia [Helmi Eliza] membuatkan kita rasa selamat di gawang, dia telah menang perlawanan itu. Ini kerana dia beraksi cemerlang di gawang.
“Dan jika anda kalah sebegini, seperti yang kita katakan pada babak kedua, jika mereka menjaringkan gol, segalanya musnah. Jika kita pula meledak gol, mereka mungkin akan tertekan dan kita ada peluang untuk menang. Dan jika mereka yang menjaringkan gol, ia akan memusnahkan kita secara mentalnya,” jelas Thomas Dooley.
Sri Pahang Bawa Masuk Zarif Irfan Sebagai Pencabar Helmi Eliza? https://t.co/Fp4WwHkHsY pic.twitter.com/vtGDfvflED
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 29, 2020
Jika benar akan berlaku perubahan, ini adalah peluang buat Zarif Irfan Hashimuddin untuk diturunkan buat kali pertama. Kecemerlangannya bersama PKNS FC satu masa dahulu akan menjadi taruhan. Ini kerana, sejak beberapa musim kebelakangan ini, beliau dilihat ‘hilang’ daripada radar apabila PKNS FC ‘berkubur’.
“Amat jelas, kami tidak mahu berada dalam situasi sebegini. Saya katakan kepada pemain, saya gembira dengan permainan mereka. Kami mencipta banyak peluang tetapi tidak menyudahkannya. Itu masalah yang kami sedang hadapi,” jelasnya.
Baginya, ada dikalangan pemainnya seperti kehilangan ‘mentaliti’ untuk menjaringkan gol. Katanya lagi, “Keputusan ini tidak mencerminkan keseluruhan permainan kami. Kami sepatutnya menang dua gol tanpa balas. Kini, kami perlu terus pandang ke depan. Saya gembira dengan permainan, tetapi tidak dengan keputusan.”
KREDIT FEATURED IMAGE: SRI PAHANG FC
Baca lagi artikel lain mengenai Sri Pahang dan Helmi Eliza:
Zarif Irfan Mahu Rampas Posisi Penjaga Gol Utama Milik Helmi Eliza
Kepercayaan Dollah Salleh Pemangkin Prestasi Cemerlang Helmi Eliza Di Pahang