EKSKLUSIF: Hellma Emily Joinin, Bakat Muda Kota Marudu Yang Meminati Alex Morgan

Pernahkah anda mendengar nama bakat muda Hellma Emily Joinin? Jika sebelum ini peminat bola sepak di Malaysia sering memberi tumpuan lebih kepada pemain-pemain muda lelaki berbakat dari skuad Piala Presiden, skuad Belia mahupun akademi-akademi bolasepak di Malaysia.

Kali ini Semuanya BOLA mengajak anda semua mengenali seorang pemain muda berbakat besar; juga merupakan seorang kapten untuk pasukan wanita kebangsaaan (Malaysia B15), iaitu Hellma Emily Joinin.

Biodata pemain

Nama: Hellma Emily Joinin
Tarikh Lahir: 14 Januari 2003
No Jersi: 19/20
Tinggi: 158cm
Berat: 55kg
Posisi: Pemain Tengah Pertahanan

Bak kata pepatah, kecil-kecil cili padi tapi jangan disangka tidak berbisa. Pada usia 14 tahun Hellma Emily Joinin, juga mesra dipanggil Emily sudah menyertai banyak perlawanan peringkat antarabangsa bolasepak wanita negara (Malaysia B15) dalam kejohanan Piala AFF dan AFC dan telah berjaya merangkul pelbagai kejuaraan bersama pasukan.

Emily berasal dari Kota Marudu, Sabah merupakan anak kedua dari 4 adik beradik. Emily yang bermain diposisi Defensive Midfielder dan menyarung jersi 20 pasukan ketika ini merupakan anak kepada pasangan Helly Noorwhety Jodir dan Joinin Jabil.

Beliau adalah pelajar Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS). Beliau merupakan seorang pemain yang lincah, bersemangat dalam setiap perlawanan dan tidak mudah patah semangat.

Hal ini telah meletakkan pemain ini antara nama yang harus diberi perhatian badan induk bolasepak negara untuk masa depan bola sepak wanita kebangsaan.

Pihak kami berkesempatan menemui adik Emily dan menemubual beliau tentang impian, inspirasi, aspirasi di sebalik perjuangannya untuk menjadi seorang pemain bola sepak wanita kebanggaan negara suatu hari nanti.

Bagaimana mula berkecimpung dengan bola sepak?

Ketika ditanya mengenai pembabitan awal di dalam bola sepak, ini penjelasan Emily:

“Saya mula berjinak-jinak dalam sukan bola ini ketika berada disekolah rendah lagi tetapi hanya sekadar hobi untuk memenuhi masa lapang.”

“Saya mula memandang serius pembabitan di dalam sukan bolasepak semasa berusia 10 tahun, semasa menghadiri ujibakat program Astro Kem Bola pada tahun 2013 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.”

 

“Pada mulanya saya datang hanya sekadar untuk mencuba nasib, tidak sangka bakat dan persembahan saya telah berjaya memikat mata jurulatih ketika itu dan saya sangat bersyukur.”

“Mereka telah menyenaraikan nama saya untuk menjalani program latihan di Cardiff City Football Club yang berlangsung selama 10 hari dan disitulah karier saya bermula.”

Perasaan ketika pertama kali mewakili negara?

Bukan semua pemain mempunyai pengalaman selaku kapten seperti Emily. Ketika ditanya oleh kami mengenai pengalaman mewakili negara, anak gadis ini tidak lokek berkongsi perasaannya ketika menyarung jersi skuad negara.

“Siapa yang tidak bangga jika dapat menyarung jersi skuad kebangsaan dan bermain mewakili negara. Sudah semestinya saya berasa sangat bangga sekali.”

“Menjadi kebanggaan kedua ibubapa saya dan adik beradik serta rakan kenalan, membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus melangkah kehadapan dalam karier saya.”

“Dalam pasukan, saya telah diberi tanggungjawab selaku ketua pasukan dan ini merupakan satu penghormatan buat saya. Semestinya tugas sebagai ketua pasukan harus saya pikul sebaiknya untuk pasukan.”

Idola di dalam sukan bola sepak

Tidak lain tidak bukan Alex Morgan, “Baby Horse” ratu bola sepak wanita dunia dan juga seorang model.

“Saya teringin untuk berjumpa dengannya. Kata semangat darinya “Always work hard, never give up, and fight until the end because it’s never really over until the whistle blows” telah menjadi sumber inspirasi saya ketika beraksi diatas padang,” jelas Emily.

(Photo by Andy Lyons/Getty Images)

Pencapaian ketika mewakili negara

Emily telah menyertai negara di dalam pelbagai kejohanan peringkat umur bola sepak wanita. Kejohanan peringkat antarabangsa yang diwakili oleh Emily dibawah bimbingan jurulatih Zhang Hong dan Smith Ampuling ialah:

AFC Cup U14 2015 Girl Regional Championship Hanoi, Vietnam. (Tempat keempat)
Zhongyi Cup 2015 Fujian, China. (Tempat kedua)
Jenesys 2015 Girl Football Exchange Program Jepun.
AFC Cup U14 2016 Girl Regional Championship Vientiene, Loas.
Gothia Cup The World Youth Cup Gothenburg, Sweden.
AFC Cup U16 Women Championship 2017 Qualifiers.
Liga Bolasepak Rakyat LBR 2017.
AFF U15 Girl Regional Championship Vientiene, Loas.
Liga Bolasepak Perempuan KPM-PPBN-FAM B16. (Juara)
The Belt And Road Youth International Football Tournament 2017 Wuzhou, China. (Tempat kedua)

Diakhir perbualan, meskipun baru berusia 14 tahun Emily telah menanam hasrat dan impian yang tinggi untuk menjadi pemain bola sepak wanita kebanggan negara satu masa nanti.

Beliau juga ingin melihat satu masa akan datang program pembangunan sukan bolasepak melibatkan wanita berdiri sama taraf dengan pembangunan bolasepak lelaki di Malaysia.

Malah turut mengharap akan ada ramai lagi pihak hadir kehadapan membuka akademi bolasepak wanita untuk memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai lagi anak-anak perempuan diluar sana untuk menceburi dalam dunia bolasepak wanita.

Rumusan

Kami dari Semuanya BOLA mendoakan agar adik Emily terus maju jaya dalam karier bola sepak dan semoga impiannya tercapai suatu hari nanti.

Sudah tentu kita mahu melihat lebih ramai bakat muda seperti Emily dicungkil pada masa akan datang.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN