Saya tiba lewat pada petang itu di sebuah restoran makanan laut di Kampung Sungai Penchala. Sejurus selepas memarkir kereta, saya bergegas mencari Heiqal di tempat yang kami telah janjikan untuk berjumpa tersebut. Tak sukar untuk mengesan beliau dari jauh. Lebih-lebih lagi jika anda pernah terlibat dalam arena bola sepak amatur di Selangor.
Kemas dengan kemeja flannel putihnya, Heiqal masih seperti Heiqal yang saya kenal. Dari jauh nampak ‘ketat’, tetapi jika anda kenal beliau dengan lebih dekat – beliau sebenarnya agak pemalu. Soft-spoken, dalam bahasa Inggeris. Pantas saya meminta maaf atas kelambatan saya. “Takde hal,” jawab beliau sambil tersenyum malu-malu.
Tujuan saya bertemu dengan beliau pada mulanya tidak lebih dari sekadar bertanya khabar dan mengucapkan tahniah. Beberapa hari sebelum kami berjumpa, salah satu pasukan kendaliannya Ingress RMFC II menjuarai Ryders League Cup. Dengan kejuaraan terbaru ini, Ingress RMFC II telah berjaya mempertahankan kejuaraan sama yang mereka menangi tahun lepas.
“Kami berjaya kerana doa dan sentiasa bersyukur,” kata Heiqal. “Doa adalah saluran hubungan kita yang paling hebat. Walaupun setelah berusaha sedaya-upaya, Yang Maha Kuasa akan menentukan apa yang terbaik untuk kita.”
Saya menyusun semula soalan saya untuk mendapatkan jawapan yang ‘lari’ dari skrip tipikal ucapan pengetua di sekolah. “Semua orang berdoa, Heiqal. Pasti ada satu benda yang membuatkan pasukan anda berjaya dalam Ryders League Cup?”
“Berbeza dengan pengurus pasukan amatur lain, saya scout sendiri pemain-pemain yang saya nak bawa masuk,” jawab bapa kepada seorang anak ini selepas ‘ditekan’ oleh saya. “Kalau pemain itu betul-betul berkualiti, saya akan masukkan beliau dalam pasukan Ingress RMFC utama yang bersaing dalam liga M5, Subang Football League.”
Penambahan pemain dalam skuad utama Ingress RMFC bermakna akan ada pemain yang perlu disingkirkan. Heiqal kemudiannya menambah, “Mana yang perlu disingkirkan dari skuad utama, saya masukkan dalam skuad Ingress RMFC II. Jadi mereka perlu meningkatkan mutu permainan mereka dahulu sebelum boleh dinaikkan semula ke skuad utama.”
Sekali pandang, skuad Ingress RMFC II yang bersaing dalam Ryders League Cup bertindak sebagai development squad untuk Ingress RMFC yang bersaing dalam Liga M5. Heiqal bersetuju. “Macam JDT dan JDT II?” soal saya lagi. “Haaa…betul!” jawab beliau.
Heiqal atau nama penuhnya, Heiqal Kamaruzaman Khan, 34, merupakan individu yang tidak asing lagi dalam arena bola sepak amatur di Selangor. Bertanggungjawab sebagai Presiden pasukan Ingress RMFC dan Ingress RMFC II, Heiqal turut masih aktif bermain – terutamanya untuk Ingress RMFC II.
Ryders League Cup, secara teorinya tidaklah sekompetitif liga-liga amatur lain di Selangor. Ia tidak menawarkan slot playoff ke Selangor Champions League. Apatah lagi slot automatik. Peraturan dan undang-undang liganya lebih santai. Secara asasnya, ia masih mengekalkan nilai-nilai ‘liga sosial’ yang semakin lama semakin pupus di kala majoriti liga-liga sosial lain berlumba-lumba untuk berevolusi menjadi lebih kompetitif.
Dalam erti kata lain, ia liga ideal untuk ‘pemain-pemain yang mahu datang main bola gelak-gelak’.
Tetapi apabila bercakap mengenai cabaran pasukan utamanya di Subang Football League, Heiqal tiada masa untuk gelak-gelak. Visi dan matlamatnya jelas. “Kami mahu bermain di Liga M4 pada tahun 2019. Selepas itu jika ada rezeki, di Piala FAM (liga divisyen ke-3) pula,” jelas beliau.
Berdasarkan prestasi semasa Ingress RMFC di Subang Football League, cita-cita Heiqal itu tidak mustahil. Setakat ini, pasukannya berjaya mengharungi lapan perlawanan tanpa kalah dan kini menghuni tangga ke-2 liga – 1 mata di belakang KV United yang dibimbing oleh bekas ketua jurulatih Axis-O2 FC yang bersaing dalam Piala FA Malaysia pada tahun ini, Syazwan Wong.
Keseriusan Heiqal dalam misi memburu slot dalam Liga M4 ini dibuktikan dengan keberaniannya menggantikan 10 pemain ketika jendela perpindahan pemain Subang Football League dibuka.
Ketika ditanya apakah tindakan beliau ini bakal menjejaskan momentum pasukan (if it ain’t broke, don’t fix it?), Heiqal tenang menjawab, “Bagi saya, ia adalah perkara biasa. Saya sebagai presiden akan memastikan penukaran ini tidak akan merencatkan momentum pasukan atau menggugat emosi para pemain.” Beliau turut menjamin, “Bahkan saya menjanjikan kualiti yang terbaik akan terhasil pada pusingan kedua liga kelak.”
Berpengalaman mengurus pasukan amaturnya sejak dari zaman arena bola sepak amatur masih di peringkat awal penubuhan (sekitar 2014), Heiqal turut tidak asing dengan beberapa kontroversi sepanjang penglibatannya. Salah satunya, tuduhan terlibat ‘menjual’ perlawanan menentang NPNG FC ketika menjuarai edisi ke-3 Selangor Social Premier League tahun lepas.
“Desas-desus ini adalah tidak berasas sama sekali,” nafi Heiqal. “Jika dilihat, pencapaian pasukan Ingress RMFC semasa kempen liga tersebut sangat cemerlang. Kami menang tanpa kalah dalam semua perlawanan sehinggalah ke perlawanan playoff Selangor Champions League 2017 menentang TPD FC – di mana kami juga memenangi perlawanan tersebut. Ini membuktikan pasukan kami cukup hebat dan handal tanpa perlu melibatkan diri dengan skandal jual-beli perlawanan.”
Kemudian ketika perlawanan peringkat kumpulan Selangor Champions League 2017 antara pasukannya menentang Shah Alam Condoh FC, nama Heiqal sekali lagi terpalit dalam kontroversi.
Ekoran rasa tidak puas hati dengan kekasaran yang dilakukan oleh pemain Puchong Fuerza FC ke atas pemainnya, Heiqal didakwa sengaja melemahkan pasukannya sendiri supaya ketika perlawanan menentang Shah Alam Condoh FC – supaya Shah Alam Condoh menang dan dapat menafikan peluang Puchong Fuerza untuk mara ke suku akhir.
Percaturan yang didakwa dibuat oleh Heiqal ini menjadi. Puchong Fuerza yang mengharapkan supaya Shah Alam Condoh kalah, terpaksa bungkus awal selepas Shah Alam Condoh berjaya menewaskan pasukan Heiqal. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Heiqal melakukan perkara ini selepas perlawanan.
Heiqal dan pasukannya dihukum gantung daripada menyertai Selangor Champions League selama setahun oleh penganjurnya, Football Selangor. Mengulas tentang hukuman ini, Heiqal kesal dengan keputusan tersebut yang disifatkannya ‘mendukacitakan’. “Penggantungan Ingress RMFC daripada menyertai Selangor Champions League 2018 telah kami terima secara rasmi dari Football Selangor.”
“Amat mendukacitakan, kami tidak diberi ruang untuk membela diri sedangkan kami mempunyai hujah yang kukuh untuk menjawab segala dakwaan yang telah dikenakan,” jelas beliau. Beliau memberitahu ramai orang menghukum beliau tanpa mengetahui cerita sepenuhnya. Bagaimanapun Heiqal tidak berminat untuk mencabar keputusan Football Selangor tersebut. “Kami tak berhasrat untuk memanjangkan episod ini dan hanya pasrah menerima keputusan yang telah dibuat.”
Kami menamatkan perbualan kami apabila Heiqal memberitahu saya beliau perlu kembali ke pejabatnya. Walaupun selepas 2 jam menemubual beliau, saya masih tidak tahu siapa yang bersalah dan siapa yang tak bersalah dalam insiden yang berlaku semasa Selangor Champions League 2017 lepas. Malah sebenarnya saya tak berminat pun untuk tahu.
Apa yang saya tahu adalah, Heiqal berada di laluan yang betul membawa Ingress RMFC menjadi pasukan pertama di Malaysia yang bermain di Piala FAM selepas bermula dari Liga M5. Anda boleh nampak api cita-cita tersebut menyala terang di matanya.