Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Hector Bidoglio tampil memberi pujian buat Kedah Darul Aman (Kedah) yang dianggap berjaya memberi persaingan cukup sengit buat mereka di Stadium Darul Aman (SDA).
Pada aksi tersebut, seperti kebiasaan JDT pastinya akan menjadi pilihan utama untuk memenangi perlawanan tersebut jika dilihat daripada segi kualiti serta pengalaman dimiliki mereka.
Namun, tuan rumah jelas tampil dengan sesuatu yang berbeza daripada segi pendekatan taktikal sehingga menyukarkan lawan sepanjang tempoh 90 minit untuk meraih gol serta menguasai penuh perlawanan.
Lebih menarik, ianya juga seolah ulangan kepada pertemuan dua pasukan ini pada musim lalu apabila Kedah dan JDT masing-masing terikat 3-3 di SDA bersama aksi cukup sengit ditampilkan.
Namun, perlawanan kali ini jelas berpihak kepada JDT apabila kemasukan bintang Harimau Malaya, Romel Morales memastikan Harimau Selatan membawa pulang kemenangan untuk bekalan di separuh akhir kedua Piala FA 2024/2025 nanti.
Jelas Bidoglio, aksi tersebut tidak mudah dihadapi oleh JDT atas faktor permainan lawan sangat baik serta dibantu oleh sorakan ribuan para penyokong di stadium yang menaikkan motivasi tuan rumah.
Walaupun menghadapi kesukaran, aksi tersebut jelas disukai pengendali berpengalaman itu yang menyifatkan mampu untuk dirinya mengesan segala kelemahan dimiliki oleh anak-anak buahnya sebelum kembali diperbaiki.
“Bagi saya kami bermain baik, begitu juga Kedah. Ini merupakan perlawanan sukar kerana mereka sebuah pasukan yang bagus.
“Keadaan itu antaranya mungkin disebabkan mereka bermain di depan penyokong sendiri. Tetapi kami juga bermain bagus dengan sentiasa menggerakkan bola dari satu sisi ke sisi lain, kerap mencari ruang terbuka dan berjaya mengawal serangan dilakukan lawan.
“Perlawanan ini jelas berlangsung penuh dinamik serta berintensiti tinggi dan itulah yang saya suka. Di pihak kami pula, pemain beraksi secara kompak, patuh dengan arahan serta sentiasa sedia melakukan segalanya bagi membolehkan kami memenangi perlawanan ini,” katanya menerusi Utusan Malaysia.
Pada masa sama, Bidoglio juga hadir dengan keyakinan tinggi JDT bakal menampilkan kualiti permainan lebih baik pada aksi seterusnya di laman sendiri iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) nanti.
“Di sana kami akan beraksi di depan penyokong sendiri yang ‘fantastik’ dan padangnya juga berbeza. Jadi kami perlu sekali lagi menang dalam perlawanan itu nanti.
“Paling penting, kami perlu tunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan dilalui. JDT merupakan kelab besar dengan setiap pasukan dalam Malaysia mahu menewaskan kami dan itu akan membantu kami menjadi lebih baik,” katanya akhir sekali.