Bek kanan Arsenal, Hector Bellerin mengakui kesilapan yang dilakukan menjadi penghalang kepada peluang The Gunners untuk sekurang-kurangnya mengikat juara bertahan, Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung awal pagi tadi.
Perlawanan di Anfield itu menyaksikan Arsenal tumbang 1-3 walaupun Alexandre Lacazette berjaya membuka tirai jaringan sebelum Sadio Mane, Andy Robertson dan Diogo Jota menghadiahkan kekalahan sulung buat skuad bimbingan Mikel Arteta selepas mengharungi tiga perlawanan liga.
Melihatkan kepada aksi yang ditampilkan pada perlawanan tersebut, Bellerin menegaskan Arsenal telah memberikan saingan hebat buat Liverpool dan turut memiliki peluang untuk mencatatkan keputusan positif.
”Saya fikir dengan peluang yang kami ciptakan, saya merasakan kami mempunyai peluang untuk mencatatkan keputusan seri atau memenangi pada perlawanan ini.”
”Apabila anda berkunjung ke Liverpool, anda perlu memanfaatkan peluang yang terhidang dan tidak melakukan kesilapan seperti yang kami lakukan,” ujar Bellerin menurut laporan Goal.
”Perbezaannya adalah margin yang sangat baik. Kami melakukan kesilapan di dalam gol dan peluang yang kami ciptakan tidak membolosi gawang mereka.”
”Aksi kami jauh lebih berkesan pada perlawanan lain menentang mereka. Kami memberikan mereka saingan yang baik tetapi kami kecewa. Kami menunjukkan peningkatan setiap hari.”
Hector Bellerin sendiri turut melakukan kesalahan yang tidak dapat diterima peminat Arsenal apabila dua lontaran ke dalam dilakukannya telah dibatalkan oleh pengadil.
Dengan kekalahan itu, Arsenal kini menghuni tangga kelima selepas mengumpul enam mata hasil dua kemenangan dan satu kekalahan manakala Liverpool pula menduduki tempat kedua apabila hanya ketinggalan menerusi perbezaan jaringan di belakang pendahulu, Leicester City.
Kredit featured image: Jason Cairnduff – Pool/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Arsenal: