Nama Sri Pahang kini terus menjadi sebutan ketika ini sebagai antara pasukan paling aktif dilaporkan untuk merekrut pemain-pemain baharu bagi saingan pada musim hadapan.
Terbaharu, Sri Pahang dilaporkan sedang membuat rundingan untuk mendapatkan khidmat bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Hazwan Bakri.
Kenyataan ini dikeluarkan sendiri oleh wartawan Astro Arena iaitu Fina Nasrom di media sosial X mengenai status kedua pemain tersebut bersama Sri Pahang musim akan datang.
Hazwan yang sebelum ini ditimpa kecederaan ACL dilaporkan masih lagi membuat perbincangan bersama kelab berkenaan kerana beliau dijangka akan sembuh selewatnya pada bulan Julai 2024.
Selain memfokuskan kepada Hazwan, skuad kendalian Fandi Ahmad itu juga dilaporkan turut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan dengan rundingan sudah dibuka bersama tonggak tersebut.
“Rundingan Hazwan Bakri bersama Sri Pahang FC masih berlaku. Ada tempoh yang di minta Hazwan memandangkan kecederaan ACL nya hanya akan pulih selewat lewatnya Julai depan.
“Lebih menarik Sri Pahang FC di khabarkan buka pintu rundingan buat Brandan Gan?” jelas Fina di media sosial X beliau sebelum itu mengenai situasi kedua pemain terbabit.
Dua pemain ini sebenarnya dianggap mampu untuk menyelesaikan isu Sri Pahang pada musim lalu jika mereka mampu diikat pasukan tersebut pada saingan hadapan.
Tahun lalu menyaksikan Sri Pahang tampil dengan tidak konsisten di posisi serangan dengan mereka terlalu bergantung harap kepada Kpah Sherman selaku penjaring utama.
Malah, posisi tengah Sri Pahang juga tidak seperti diharapkan dengan penguasaan serta kreativiti lemah ditampilkan mereka dalam setiap perlawanan dihadapi.
Kehadiran Hazwan Bakri sekurangnya mampu menampung kualiti pemain tempatan menerusi pengalaman dimiliki beliau dalam arena bola sepak tanah air.
Sementara Gan seperti diketahui merupakan seorang pemain yang memiliki kualiti cukup tinggi di posisi tengah dan sudah dibuktikan musim lalu bersama Selangor serta Harimau Malaya.
Selain itu, nama penyerang Negeri Sembilan tahun lalu iaitu Shahrel Fikri turut dikaitkan bakal menyertai Tok Gajah musim hadapan untuk memperkukuhkan lagi aspek serangan pasukan berkenaan.