Hatrik Shahrel Fikri Hiasi Kemaraan Bergaya Skuad Negara Ke Pusingan Kedua

Shahrel Fikri

Kelebihan jaringan yang cukup besar dinikmati skuad negara pada aksi pertama tidak langsung dihiraukan untuk mencatatkan kemenangan bergaya 5-1 pada perlawanan kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022 & Piala Asia 2023 bertemu Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan bergaya itu bermakna skuad negara secara agregat berjaya menumpaskan lawan tersebut dengan keputusan 12-2.

Perlawanan yang menyaksikan Malaysia bermain selaku pasukan pelawat itu diceriakan lagi dengan ledakan hatrik dihasilkan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi.

Sedar kelebihan besar dimiliki, Tan Cheng Hoe merehatkan dua pemain utama iaitu ketua pasukan, Farizal Marlias dan Safawi Rasid bagi memberikan peluang buat Ifwat Akmal Chek Kassim dan Akhyar Rashid bermula di kesebelasan utama.

La’Vere Corbin-Ong yang beraksi cemerlang pada dua penampilan awalnya bersama skuad kebangsaan turut direhatkan dan tempat beliau diisi oleh Syazwan Andik Mohd Ishak.

Shahrel membuka tirai jaringan pada minit ke-11 selepas dengan tenang beliau menolak masuk bola hasil hantaran Akhyar bagi menggembirakan ribuan penyokong tuan rumah.

Hanya berselang enam minit, pemain yang pernah berkelana di Thailand itu sekali lagi menemui sentuhan jaringan dan kali ini menerusi tandukan selepas menerima umpanan sepakan penjuru dilakukan Syazwan Andik.

Timor Leste hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-30 selepas dihadiahkan sepakan penalti akibat kekasaran Ifwat terhadap Rufino Gama.

Sepakan diambil ketua pasukan, Joao Pedro itu bagaimanapun terlalu lemah dan mudah dibaca Ifwat untuk menyelamatkan pintu golnya.

Mohamadou Sumareh menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-37 menerusi rembatan padu dalam kawasan penalti ketika penjaga gol, Aderito Fernandes sudah keluar dari posisinya.

Aderito terus kecewa selepas aksi babak kedua berusia 10 minit setelah rembatan leretan Akhyar Rashid hanya mampu dipandang penjaga gol berusia 22 tahun itu membolosi gawangnya.

Tiga minit kemudian, Shahrel Fikri berpeluang untuk melengkapkan hatrik dengan lebih awal tetapi beliau hampa apabila sepakan penalti diambil berjaya dihalang Aderito.

Ini adalah kali kedua Aderito menafikan sepakan penalti pemain Malaysia apabila turut menggagalkan usaha Safawi Rasid pada aksi pertama tempoh hari.

Penyerang Perak itu bagaimanapun menebus kesilapannya setelah menyempurnakan peluang hasil gerakan solonya dan kemudian melakukan percubaan kaki kiri leret untuk hatrik pada minit ke-64.

Lebih menarik, tiga jaringan yang dijelmakannya berpunca daripada percubaan kaki kanan, tandukan dan kaki kiri (mengikut turutan gol).

Timor Leste yang masih enggan mengaku kalah berjaya memperoleh jaringan saguhati pada minit ke-72 menerusi Rufino Gama.

Kedudukan 5-1 kekal hingga tamat permainan untuk Malaysia selesa menempah slot ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 & Piala Asia 2023.

Kredit foto: FAM

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN