‘Hatrik paling memedihkan dalam sejarah bola sepak antarabangsa’. Mungkin itulah penjelasan terbaik situsi dan nasib yang menimpa pemain pertahanan pasukan wanita Liverpool, Meikayla Moore ketika mewakili negaranya New Zealand.
Dalam perlawanan SheBelieves Cup, Amerika Syarikat menewaskan New Zealand dengan jaringan 5-0. Tiga daripada jaringan Amerika Syarikat terhasil melalui gol sendiri Meikayla Moore.
Amerika Syarikat yang sebelum ini buntu jaringan ketika diikat Republik Czech dalam perlawanan pembukaan, kali ini mendapat bantuan jaringan daripada pemain lawan. Moore menjaringkan gol sendiri pada minit ke-5, minit ke-6 dan minit ke-36 perlawanan.
https://twitter.com/DAZNFootball/status/1495519768052477952
Ia adalah tiga jaringan pertama dalam perlawanan tersebut, sebelum Amerika Syarikat terus menguasai perlawanan dan menambah jaringan melalui tandukan Ashley Hatch pada minit ke-51, dan Mallory Pugh yang melengkapkan penderitaan Moore dan New Zealand pada masa kecederaan.
Mimpi ngeri Moore bermula apabila beliau cuba untuk memintas hantaran lintang Sophia Smith. Namun sentuhan beliau sebaliknya masuk ke gawang sendiri.
Seminit kemudian tandukan pemain Amerika Syarikat, Catarina Macario sepatutnya tersasar tetapi malangnya ia terbias mengenai kepada Moore sebelum gawang New Zealand dibolosi sekali lagi.
Not great 😬
New Zealand’s Meikayla Moore has a hat trick against the US…of own goals. 🥴
(via @USWNT) pic.twitter.com/ssB8G5dhyE
— oddschecker (@oddscheckerUS) February 20, 2022
Hatrik paling malang dalam dunia bola sepak itu dilengkapkan apabila Moore cuba melakukan clearance untuk mematikan ancaman hantaran lintang oleh Margaret Purce. Sekali lagi segalanya menjadi serba tidak kena apabila bola terbias menuju gawang sendiri.
Mungkin enggan situasi menjadi lebih teruk, Moore dikeluarkan oleh jurulatih selepas melengkapkan hatrik aneh itu.
Pemain berusia 25 tahun itu dianggap seorang pemain berpengalaman dan memiliki 48 kaps bersama skuad kebangsaan wanita New Zealand. Moore menyertai Liverpool pada 2020.
https://twitter.com/futfemfc/status/1495510046712766465
Dengan kemenangan tersebut, Amerika Syarikat kini melebarkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri kepada 64 perlawanan. Penjaga gol, Alyssa Naeher pula hanya diuji sekali dalam perlawanan ini dan tidak pernah dibolosi hampir dua tahun di gelanggang sendiri.
Tatkala Amerika Syarikat bangga dengan rekod dan pencapaian terbaru mereka, Moore pula pasti mahu melupakan episod duka yang akan sentiasa terpahat di dalam kariernya.