Bekas penyerang Chelsea, Jimmy Floyd Hasselbaink melihat kelemahan jentera pertahanan The Blues adalah sesuatu yang menggusarkan dan menegaskan skuad bimbingan Frank Lampard itu perlu untuk membawa masuk pertahanan baharu.
Meskipun kini menghuni tangga ketiga saingan Liga Perdana Inggeris dengan 63 mata, pertahanan Chelsea jelas begitu rapuh apabila mereka telah dibolosi sebanyak 49 jaringan.
Susulan dengan itu, Chelsea menjadi pasukan yang paling banyak dibolosi dalam kelompok 10 pasukan teratas dalam kancah liga paling popular di dunia pada musim ini.
Tiada pilihan lain, Hasselbaink yang beraksi bersama The Blues selama empat musim bermula 2000/01 itu mengharapkan agar Lampard dapat membawa masuk pertahanan baharu dalam usaha mereka untuk bersaing hebat dengan kelab-kelab besar yang lain.
”Jika anda melihat kepada skuad yang Frank miliki, dengan apa yang dia miliki, dia telah melakukan dengan sangat baik,” ujar Hasselbaink menurut laporan Goal.
”Sekiranya anda menganalisis dengan mendalam, sangat baik mereka dapat berada di kedudukan empat terbaik tetapi mereka telah dibolosi sebanyak 49 gol. Ia terlalu banyak.”
”Sekiranya anda mahu bersaing dengan kelab-kelab besar, rekod pertahanan pasukan anda perlu meningkat dengan sangat ketara.”
‘”Saya merasakan mereka perlu memantapkan skuad ini. Musim lalu mereka tidak mendapat bakat baharu yang telah menolong pemain muda tetapi anda perlu untuk meningkatkan kualiti pasukan dengan pemain yang sangat baik, pemain yang lebih baik berbanding yang mereka miliki sekarang.”
”Sekiranya anda bertanyakan kepadanya [Lampard], pertahanan adalah posisi yang sangat mengecewakannya,” tambah Hasselbaink lagi.
Lampard yang sudah pastinya menyedari kelemahan tersebut dikatakan berminat untuk membawa masuk pertahanan Leicester City, Ben Chilwell bagi memantapkan lagi pasukannya selepas menerima kehadiran dua pemain serangan, Hakim Ziyech dan Timo Werner.
Kredit featured image: Michael Regan/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Chelsea: