Selepas tampil cemerlang dalam aksi kedua lalu bagi perlawanan peringkat Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia B-20, skuad kebangsaan bawah 19 (B-19) bakal berdepan cabaran sebenar mereka untuk menentang Korea Selatan.
Dalam aksi yang bakal berlangsung di Stadium MFF Ulaanbaatar, Mongolia, pasukan negara jelas tidak mempunyai sebarang pilihan selain mencatat kemenangan ke atas lawan sekiranya mahu melayakkan diri ke pentas Piala Asia tahun hadapan.
Carta Kedudukan Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia B-20 2023
* Selepas Hari Perlawanan 2 pada Jumaat, 16 Sept 2022
MONGOLIA 🇲🇳 0-7 🇰🇷 REP KOREA
SRI LANKA 🇱🇰 0-3 🇲🇾 MALAYSIA▶️ Malaysia seterusnya akan bertemu Republik Korea pada Ahad, 18 Sept 2022#FAM #HarimauMalaya #AFCU20 pic.twitter.com/4j1BhPg2Nl
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 16, 2022
Hassan Sazali Waras selaku pengendali Harimau Malaya jelas optimis dengan barisan pemainnya apabila beliau percaya mereka mampu mencipta kejutan, meskipun lawan tampil dengan serba mantap di segenap posisi.
Menurut beliau, para pemain perlu memberi komitmen sepenuhnya, dengan mencatat kemenangan bagi muncul selaku juara kumpulan pada aksi tersebut, kerana lawan hanga sekadar memerlukan keputusan seri untuk melayakkan diri mereka ke saingan tersebut.
“Kita perlu memenangi perlawanan esok bagi mengesahkan pasukan layak ke peringkat seterusnya, walaupun pasukan Korea Selatan dianggap sebagai pilihan dalam kumpulan ini.
“Saya yakin pasukan akan memberi komitmen 100 peratus bagi mencapai sasaran itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Malaysia perlu mencatat kemenangan 1-0 sekurangnya ketika berdepan Korea Selatan untuk muncul selaku juara kumpulan dengan mengumpul tujuh mata keseluruhan menerusi kemenangan dan keputusan seri diraih sebelum itu.
Berbanding pasukan lawan, Korea Selatan dilihat tidak berdepan cabaran besar untuk muncul selaku juara kumpulan, apabila mereka sekadar memerlukan keputusan seri untuk mengutip satu mata berharga.
Pada masa sama, Hassan jelas gembira dengan kemenangan diraih skuad kendaliannya baru-baru ini ketika menentang Sri Lanka, dan ia jelas memberi kelegaan buat pengendali tersebut setelah peluang untuk Malaysia melayakkan diri kembali terbuka.
Keputusan Masa Penuh
Kelayakan Piala Asia B-20 2023 | Jumaat, 16 September 2022
SRI LANKA 🇱🇰 0-3 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Aliff Izwan Yuslan 30' 90'+5 Adam Farhan Faizal 70'
Kredit Foto: @theafcdotcom#FAM #HarimauMalaya #AFCU20 pic.twitter.com/zoHecC7pjs
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 16, 2022
Tambah Hassan, ketika ini motivasi para pemain kendalian beliau berada dalam keadaan terbaik untuk pertemuan esok menentang Korea Selatan.
“Alhamdulillah, dengan kemenangan ke atas Sri Lanka kembali mencerahkan laluan serta meningkatkan moral pemain bagi menghadapi perlawanan menentang Korea Selatan,” katanya lagi.
Untuk format kejohanan ini, hanya juara kumpulan sahaja berpeluang untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2023, lima lagi pasukan daripada tempat kedua berdasarkan 10 kumpulan terbaik turut mendapat tiket ke saingan tersebut tahun hadapan.