Quantcast

BERITA

Hasnul Dedahkan PAFA Alami Kerugian Hampir RM1.4 Juta

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mendedahkan terdapat beberapa kepincangan dan pembaziran dilakukan oleh pengurusan pafa sebelum ini.

Beliau yang juga Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mendakwa beberapa pemain import dan tempatan menerima gaji buta setiap bulan tanpa beraksi.

Menurut kenyataannya seperti dipetik dalam Sinar Harian, persatuan itu juga terpaksa menanggung kerugian hampir RM1.4 juta bagi membayar kos penamatan kontrak pemain-pemain import yang diberikan kuasa bayaran melalui pihak bawahan.

“Dalam isu pembayaran pemain, persatuan telah menghabiskan RM608,000 untuk membayar dua pemain import yang tidak beraksi disebabkan kecederaan berpanjangan.

“Seorang pemain dihantar pulang ke negara asal dan menerima gaji buta hampir RM45,000 sebulan yang dibayar dari April hingga November, sementara seorang lagi tidak beraksi kerana bukan pilihan jurulatih, namun tetap dibayar pada kadar sama dari Mei hingga Disember hingga selesai dalam kontrak,” katanya dalam Sidang Dewan Perak.

Misagh Bahadoran antara pemain import yang jarang beraksi dengan skuad Perak musim ini.

Beliau turut berkata, isu sama juga berlaku dalam kalangan pemain tempatan yang mana Pafa membazirkan wang antaranya RM35,000 sebulan membayar gaji pemain yang mengalami kecederaan.

“Ada antara pemain-pemain ini yang menemui saya menyatakan kekesalan apabila mereka tidak dibenarkan berada dalam pasukan sedangkan mereka mampu beraksi,” katanya.

Bayaran tiket tertunggak gagal dilunaskan kepada Pafa

Selain isu bayaran gaji pemain, Pafa juga berdepan tunggakan bayaran tiket sebanyak RM7,000 hingga RM20,000 yang gagal dijelaskan oleh beberapa individu dan organisasi parti politik daripada Pemuda UMNO.

Presiden

“Biarpun hanya enam bulan memimpin Pafa, saya sangat terkejut berlakunya pelbagai kepincangan dan pembaziran yang menyebabkan kerugian dalam angka sangat besar kepada persatuan.

“Ketika mengambil alih pasukan, saya telah merombak sistem pengurusan, meskipun mendapat kecaman dan cakap-cakap nakal kononnya kehadiran saya merosakkan pasukan, ternyata ia tidak benar, buktinya apabila skuad The Bos Gaurus ini muncul juara Piala Malaysia selepas 18 tahun menunggu,” katanya.

Pada 8 November lalu, beliau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Pafa selepas terpalit kontoversi bergambar dengan trofi sebagaimana tukar di media sosial.

Beliau mengakui, kekhilafan dan kekurangan berlaku dalam proses meraikan kejayaan pasukan disebabkan kegagalan membuat perancangan awal.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mohon maaf dan kita hargai segala pandangan sama ada secara peribadi mahupun kepada Pafa,” katanya.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!