Hashtag Media Tawar Khidmat Jaga Media Sosial Negeri Sembilan Secara Percuma

Pengasas dan Pengarah Urusan Hashtag Media, Mohd Zulhelmie menawarkan khidmat membantu menaikkan nilai aset media sosial Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) secara percuma selama setahun, jika pengurusan tertinggi persatuan tersebut mahu.

Zulhelmie yang sebelum ini menawarkan servis syarikat beliau melalui akaun Twitter peribadi beliau pada 11 Januari 2019, mendapat respons daripada penaja PBNS iaitu Rhino Southeast Asia.

Bercakap kepada Semuanya BOLA, beliau memberitahu: “Sebelum ini saya pernah menawarkan servis untuk membantu PBNS menjaga media sosial mereka secara percuma selama setahun jika mereka mahu. Saya tak sangka tweet tersebut mendapat perhatian daripada wakil Rhino.”

Menurut Zulhelmie, Hashtag Media kemudiannya membantu Rhino menyiapkan video pengenalan jersi dan pemain. Video tersebut kemudiannya ditayangkan semasa Majlis Pengenalan Pemain & Pelancaran Jersi PBNS Musim 2019 di Mydin Seremban 2 pada 27 Januari lepas.

Respon dari penyokong-penyokong Negeri Sembilan tentang video terbitan anak jati Negeri Sembilan tersebut rata-ratanya positif.

(Sumber: Twitter @elmielmo)
(Sumber: Twitter @elmielmo)

Zulhelmie yang menetap di Seremban turut berkata, walaupun Hashtag Media menawarkan servis tersebut secara percuma, beliau tetap mengharapkan PBNS dapat memberikan sedikit return of investment (ROI).

“Saya cuma nak logo Hashtag Media terpapar di poster-poster grafik dan video-video yang dimuatnaik di aset-aset media sosial PBNS. Sebelum ini saya nak logo Hashtag Media di adboard stadium. Tapi saya difahamkan benda itu mahal. Jadi saya faham,” kata beliau. “Secara asasnya, kalau saya bagi something, saya nak something in return juga.”

Ketika ditanya kami apakah beliau boleh menawarkan tawaran sama ini kepada pasukan Liga Super atau Liga Premier lain, Zulhelmie memberitahu tawaran ini hanya untuk PBNS sahaja.

“Kalau untuk PBNS, saya sanggup tawarkan servis Hashtag Media dengan percuma atau kos paling rendah. Tapi untuk pasukan selain PBNS, saya akan letakkan harga standard.”

Zulhelmie yang sudah mula menyokong Negeri Sembilan sejak kecil turut memberikan pandangan beliau mengenai cabaran pasukan Hobin Jang Hobin itu di Liga Premier pada musim ini.

“Saya sudah menyaksikan 3 perlawanan persahabatan dan sesi latihan Negeri Sembilan. Semasa buat video pelancaran juga saya dah bercakap dengan ketua jurulatih [Mat Zan Mat Aris] dan pemain-pemain. Mereka menyasarkan kita boleh naik Liga Super pada musim depan. Saya juga berpendapat sama. Kita boleh dapat kedudukan ke-2 teratas.”

Mengakui saingan sengit akan datang dari pasukan JDT II dan Perlis, Zulhelmie tetap yakin dengan kemampuan pasukan sokongannya. Keyakinannya dizahirkan selepas kagum melihat persembahan 3 pemain yang disifatkannya perlu diberi tumpuan. “Saya melihat Shunsuke Nakatake, Matheus Vila dan Aiman Khalidi sebagai pemain yang boleh menjadi tonggak kami pada musim ini.”

Negeri Sembilan akan memulakan kempen Liga Premier 2019 pada hari Sabtu ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menentang Sarawak.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN