Jauh di satu sudut Stadium Cheras ketika berlangsung perlawanan antara tuan rumah, Selangor menentang Kelantan, kelihatan penyokong pelawat sedang mempromosikan ‘sesuatu’.
Mereka dilihat menaikkan kain rentang yang tertulis ‘Selamatkan Bola Sepak Kelate. #BibiOut’. Ini berikutan rentetan masalah dalaman yang sedang melanda kem tersebut.
Dalam perlawanan tersebut, skuad muda Kelantan tumbang kali ke-4 berturut-turut dan kali ini giliran Selangor membelasah mereka dengan keputusan 4-0.
Ia boleh dikategorikan antara kekalahan terburuk TRW pada musim 2018 selain keputusan tewas 1-5 kepada Kuala Lumpur pada 22 Mei yang lalu, di stadium yang sama.
Walaupun ia boleh dikatakan luahan terpencil para penyokong, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan harus berhenti bermain dengan api kecil ini.
“Kecil api menjadi kawan, besar ia menjadi lawan.”
Ia sesuatu yang wajar difikirkan dan dipertimbangkan oleh Bibi Ramjani agar dapat menyelesaikan kemelut ini daripada terus berpanjangan dan memakan dirinya.
Bibi Ramjani telah dilantik menjadi presiden pada September tahun lalu selepas kongres kali ke-63 yang berlangsung di Kota Bharu bagi tempoh 5 tahun (2017-2021).
Pada awal fasa peralihan kuasa tersebut, dia dilihat mempunyai gaya kepimpinan yang baik dan mempamerkan pesona seorang yang akan merubah arena bola sepak Kelantan.
Namun, sejak akhir-akhir ini pelbagai konflik timbul dan ini lebih sensasi berbanding prestasi skuad Kelantan yang terumbang ambing hingga menanti untuk tersingkir ke Liga Premier.
Gandingan Bibi Ramjani dan Fajer Ibrahim dalam era baharu ‘Kelantan muda’ ini dilihat goyah dan penuh drama. Inilah yang mengundang kain rentang tersebut dinaikkan.
Hasil pemerhatian setakat ini, tanda pagar atau hashtag #bibiout, #bbout, #bibout dan #fajerout juga dilihat telah mula digunapakai oleh para pendokong skuad dari Pantai Timur itu.
Ini mungkin adalah cara untuk para penyokong meluahkan rasa hati mereka mengenai kepimpinan KAFA ketika ini yang dikhabarkan terlalu ego.
Penganalisa bebas, Zuraimi Zukri menyatakan dalam posting Facebooknya bahawa Kelantan ketika ini sudah perlu menekan butang panik untuk selamat dari penyingkiran.
Menurutnya, Kelantan perlu menang separuh dari baki perlawanan liga iaitu menang lima perlawanan untuk sekurang-kurangnya terselamat di unifi Liga Super 2018.
Terbaharu, turut dikhabarkan penaja skuad TRW, Yakult menerusi Pengarah Jualan dan Pemasaran, Hiroshi Hamada telah bersuara mengenai kepincangan yang kian meruncing tersebut.
Hamada menuntut presiden KAFA dan ketua jurulatih mengambil tanggungjawab atas segala keputusan yang dibuat dan tidak menyalahkan pihak lain jika mereka gagal nanti.
Jadi, sebagai penyokong Kelantan, anda berada di posisi mana dalam gelora pengurusan KAFA ketika ini?