Lagenda bola sepak Kelantan dan kebangsaan, Hashim Mustapha bercakap kepada Harian Metro, berharap anaknya, Aiman Shakir Hashim akan tersenarai dalam skuad utama Kelantan, musim hadapan.
Aiman Shakir kini merupakan pemain pertahanan skuad Piala Presiden Kelantan yang telah berjaya melangkah hingga ke peringkat separuh akhir. Pemain berusia 20 tahun itu juga pernah beraksi bersama Harimau Muda C pada tahun 2015.
Pada 11 November lalu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) telah mengumumkan senarai awal barisan pemain untuk musim hadapan dengan lima pemain Piala Presiden telah dinaikkan pangkat ke pasukan utama.
Lima pemain muda yang telah mendapat kepercayaan KAFA itu adalah Daniel Asyraf Abdullah, Nik Azli Nik Alias, Mohd Imran Samso, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhd Saiful Alias.
KAFA turut mengumumkan yang Kelantan akan mempertaruhkan barisan pemain muda untuk saingan Liga Super musim hadapan dengan hanya mengekalkan sekitar 20 peratus pemain senior.
Mungkin atas sebab itu, Hashim melihatkan inilah peluang buat anak bongsunya itu untuk membarisi skuad utama The Red Warrior dan pada usia 20 tahun, Aiman sudah wajar dinaikkan pangkat.
Ada juga rakan sepasukan anaknya ketika beraksi bersama Harimau Muda C sebelum ini telah berjaya bersama pasukan utama negeri masing-masing antaranya Syamer Kutty Abba, Jafri Firdaus Chew dan Syahmi Safari.
“Sudah tiba masanya dia (Aiman) yang bermain di benteng pertahanan beraksi dalam skuad Liga Super kerana sebelum ini dia antara yang membantu skuad Kelantan dalam pertandingan Piala Presiden,” ujar Hashim.
Hashim telah beraksi dalam skuad utama Kelantan pada usia yang muda, sekitar usia 17 atau 18 tahun, iaitu pada tahun 1984. Dan mungkin atas faktor itu jugalah, dia mahukan anaknya untuk memecah masuk ke skuad utama Kelantan pada ketika ini.
“Sebagai bapa sudah pasti saya mahukan yang terbaik dan mahu dia bermain di peringkat lebih tinggi kerana bakat muda seperti ini perlu mendapat lebih penampilan dalam sesebuah pasukan,” katanya lagi kepada Harian Metro.
Walaubagaimanapun, Hashim tidaklah memaksa KAFA untuk menerima pendapat peribadinya itu. Bagi Hashim, seramai 15 orang pemain Piala Presiden yang sudah boleh diserap ke skuad utama.
“Saya tidak kata pengurusan perlu ambil cuma kalau boleh dipertimbangkan kerana saya menganggap anak saya berpotensi sama dengan rakannya yang beraksi dalam pasukan. Ada kira-kira 15 lagi pemain yang dilihat boleh membantu skuad utama Kelantan.
“Dan mungkin mereka ini memerlukan masa satu atau dua tahun lagi sebelum dapat diserap sepenuhnya ke skuad senior,” ulasnya lagi yang juga merupakan jurulatih skuad Piala Presiden Kelantan.