Hasenhuettl: ‘Project Big Picture’ Akan Jadikan EPL Membosankan

Ralph Hasenhuettl EPL Big Picture

Kontroversi mengenai ‘Project Big Picture’ masih belum reda apabila pengurus Southampton, Ralph Hasenhuettl pula bersuara mengatakan pelaksanaannya hanya akan menjadikan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai pertandingan yang tiada tarikan atau membosankan.

Menurut kenyataannya yang disiarkan Reuters, pengurus berusia 53 tahun itu menjelaskan peminat bola sepak tidak akan menyaksikan lagi ‘keajaiban’ seperti mana yang dijelmakan oleh Leicester City yang mencipta kejutan menjulang kejuaraan EPL pada musim 2015/2016.

Satu demi satu kelab EPL telah pun menolak cadangan tersebut yang dikatakan dimulakan oleh Liverpool dan Manchester United untuk mengubah format dan struktur liga paling popular di dunia itu termasuk mengenai kewangan, jumlah pasukan dan hak mengundi istimewa bagi ‘kelab-kelab besar’.

Berdasarkan kertas cadangan yang ‘dibocorkan’ oleh sebuah syarikat media British itu, ia kononnya adalah untuk membantu ‘kelab-kelab’ kecil di bawah kendalian Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) dari segi bantuan kewangan menerusi hak penyiaran.

Bagaimanapun ‘hak istimewa’ yang diminta oleh kelab-kelab utama telah menimbulkan perdebatan dan Hasenhuettl percaya ianya akan memberi kesan untuk jangka masa panjang dan akan memusnahkan aspirasi kelab-kelab lain dalam mencabar kejuaraan.

“Mereka [kelab-kelab kecil] tidak berfikir panjang sebelum menerima cadangan itu, mungkin mereka akan mendapat sedikit duit yang memberikan sedikit ‘kelegaan’.

“Tetapi pada penghujungnya, mungkin kita akan lihat hanya ada satu atau dua pasukan sahaja yang akan menjadi juara untuk sembilan tahun berturut-turut seperti mana yang berlaku di Jerman dan Itali,” ujar pengendali warga Austria itu.

“Pada saya jujurnya ia membosankan. Apa yang saya suka mengenai EPL adalah setiap dua tau tiga tahun kita akan ada juara baharu. Kejayaan Leicester tidak mungkin berlaku lagi jika kita membenarkan cadangan ini dilaksanakan.

“Saya lebih suka jika kita terus kekal dengan apa yang sedia ada di England ketika ini. Sebab mengapa EPL begitu terkenal atau popular kerana ianya paling kompetitif di dunia, contohnya keputusan 7-2 ketika Villa menewaskan Liverpool, ia membuatkan liga ini sangat menarik.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Inggeris:

Arteta Sedia Lepaskan Thomas Partey Untuk ‘Hancurkan’ Manchester City

Rio Ferdinand: Saya Pernah Kena, Harry Maguire Pun Wajib Kena

Klopp Dedah Satu Benda Yang Dibuatnya Pagi Selepas Kekalahan 7-2

Leave a Reply