Pemain tengah Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Hasbullah Abu Bakar jelas mahu mencipta kebangkitan untuk mengharungi aksi seterusnya bagi persaingan Liga Super 2024/2025 bertemu Negeri Sembilan.
Setelah tewas sebanyak dua kali berturut-turut pada aksi lalu bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), sudah tentu siri kebangkitan ditagih semula untuk memastikan Sang Kenari terus memberi persaingan sengit bertemu lawan.
Terdahulu, hasrat Kedah untuk mencipta kejutan mengatasi JDT pada aksi separuh akhir kedua Piala FA tidak kesampaian apabila mereka tewas 0-4 di tangan tuan rumah ketika aksi berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Berselang beberapa hari kemudian, kedua pasukan sekali lagi bertemu di gelanggang sama untuk saingan Liga Super pula di mana Kedah gagal untuk melakar kebangkitan apabila dibenam JDT menerusi keputusan 0-6 pula.
Tewas dan bolos dengan jumlah cukup besar untuk dua kali berturut-turut sudah tentu memberi tamparan besar buat kem Sang Kenari selain motivasi segelintir pemain mungkin tidak begitu menyakinkan.
Melihat kepada aksi bertemu Negeri Sembilan akan datang, jelas Hasbullah tidak ingin kehilangan sebarang mata lagi demi mengelak terus berada di kedudukan lebih bawah pada carta liga.
Beraksi di laman sendiri pada Sabtu ini, Hasbullah berharap rakan sepasukan lain cepat bangkit daripada rasa kecewa setelah tewas kepada JDT pada minggu lalu.
“Apa yang perlu kami lakukan adalah mengatasi perasaan kecewa yang lalu dengan bangkit dengan semangat yang lebih kuat bagi menghadapi skuad Negeri Sembilan di laman sendiri selepas ini.
“Episod kekecewaan yang kami lalui ketika tewas besar kepada JDT perlu kami lupakan dan bangkit segera untuk membuktikan kemampuan kami yang sebenar di hadapan penyokong.
“Jadi tiada istilah hanya menang kerana yang lebih tepat adalah wajib menang bagi memastikan kami tidak lagi keciciran mata dan pada masa yang sama kami mengimpikan penambahan mata untuk terus bersaing menuju kelompok pasukan atasan liga,” kata beliau menerusi laporan Harian Metro.
Terdahulu, Hasbullah menyertai Kedah pada musim ini untuk memperkukuhkan jentera tengah kelab tersebut dengan setakat ini beliau sudah pun meledak beberapa gol buat Sang Kenari.
“Kita tahu tiada aksi mudah dengan mana-mana pasukan yang akan ditentang kerana semua mengidamkan kemenangan selepas keciciran mata dan begitu juga dengan skuad Negeri Sembilan.
“Jadi saya harap semua rakan sepasukan dapat tingkatkan lagi keupayaan dalam usaha untuk menggenggam tiga mata yang kami hajatkan dan menurut setiap perancangan yang akan ditetapkan oleh ketua jurulatih kami,” katanya akhir sekali.