Sejak penghujung musim lalu, nama Harry Winks mulai meniti di bibir peminat bola sepak di seluruh England. Beberapa siri aksi yang meyakinkan bersama kelab dan negara sejak kebelakangan ini, pantas menjadikan Winks antara anak muda harapan England untuk kejohanan Piala Dunia pada tahun hadapan.
Siapakah anak muda ini? Apakah istimewanya produk akademi Tottenham Hotspur ini? Ikuti analisis ringkas kami mengenai anak muda yang telah beraksi untuk England di setiap peringkat umur.
Pengenalan
Harry Winks atau nama penuhnya Harry Billy Winks dilahirkan di sebelah timur England di sebuah pekan yang dinamakan Hemel Hampsted di Hertfordshire.
Debut bersama skuad senior Tottenham tiba dalam perlawanan UEFA Europa League, menentang FK Partizan pada musim 2013-14.
Sejak daripada itu, Winks tidak menoleh ke belakang lagi, dan sentiasa bekerja keras untuk kekal berada di dalam skuad utama Mauricio Pochettino sehingga ke hari ini.
Winks adalah produk akademi Tottenham Hotspur dan telah beraksi di setiap peringkat umur untuk negaranya sebelum dipanggil oleh Gareth Southgate ke skuad senior England untuk perlawanan kelayakkan Piala Dunia 2018 sebelum tampil buat kali pertama menentang Lithuania.
Prestasinya bersama Tottenham ketika berhadapan dengan Real Madrid di saingan UEFA Champions League hanya menguatkan lagi andaian bahawa Winks adalah bakat istimewa.
Sejak debut bersama England, Winks tampil lebih yakin di peringkat kelab, dan pada hari ini Winks adalah antara tongak utama Tottenham Hotspur di bahagian tengah.
Corak permainan
Harry Winks adalah seorang pemain tengah. Beliau selesa beraksi di hadapan 3 pertahanan dalam sistem bek bertiga Pochettino, dan ada kalanya akan naik ke atas untuk membantu Dele Alli dan Christian Eriksen ketika di fasa serangan.
Jika satu masa dahulu Tottenham memiliki Luca Modric yang selesa dengan bola berada di kaki, Winks adalah seorang pemain yang gemar melakukan hantaran untuk memulakan serangan dari bahagian tengah padang.
Winks gemar untuk turun ke bawah untuk membantu bahagian pertahanan, memperolehi bola, sebelum menggunakan visi dan kepintarannya menghantar bole ke hadapan. Dengan kata lain, Winks persis seorang pivot moden.
Secara statistik, Winks mempunyai purata hantaran tepat yang lebih baik atau hampir setanding dengan2 lagi pilihan pemain di posisi itu, Mousa Dembele dan juga Moussa Sissoko walaupun baru berusia 21 tahun pada musim ini di saingan EPL.
Adakah Winks akan mencatatkan purata hantaran tepat yang lebih baik jika mendapat minit beraksi secara lebih kerap? Kita akan mengkaji lebih lanjut perkara ini sebentar nanti.
Saiz tubuh yang kecil memudahkan Winks untuk melepaskan diri daripada tekanan pihak lawan dengan mudah, sepertimana yang pernah diperagakan oleh Modric ketika di White hart Lane satu masa dahulu.
Di dalam bola sepak moden, pemain seperti Winks adalah aset untuk memenuhi tuntutan tempo perlawanan yang semakin pantas. Setiap pasukan juga memerlukan seorang pemain yang mampu melakukan hantaran dengan tenang dan bijak merancang serangan.
Dalam beberapa perlawanan, Winks turut dilihat selesa mengawal bola dan membantu melakukan serangan dengan larian-larian dari bahagian tengah.
Tidak hairanlah ada di kalangan penyokong Tottenham menyamakan Winks dengan Modric, walaupun dari segi aspek teknikal, kedua-duanya adalah pemain yang berbeza.
Analisis: Kekuatan utama Harry Winks
Seperti yang dikatakan di atas, antara aspek yang menjadi kekuatan Harry Winks ialah kebolehan melakukan hantaran tepat. Untuk seorang pemain tengah, ini adalah antara aspek utama yang diperlukan.
Perhatikan bagaimana pencapaian Harry Winks di pertandingan UEFA Champions League pada musim ini. Beliau memiliki ketepatan hantaran yang lebih tinggi berbanding 2 lagi rakan.
Malah jika perbandingan dilakukan dengan Nemanja Matic (Machester United) dan juga Kevin De Bruyne (Manchester City) yang beraksi lebih ke hadapan, Winks tidak berada jauh dari segi purata hantaran tepat dalam saingan EPL pada musim ini.
Hakikatnya, Winks memiliki minit beraksi yang lebih rendah dan berusia lebih muda berbanding dua lagi pemain tersebut.
Dalam perlawanan menentang Borussia Dortmund pada awal pagi tadi, Winks mencatatkan 93% hantaran tepat dalam perlawanan UCL itu. Perhatikan corak hantaran Winks di kawasan lawan yang bertujuan untuk membuka ruang kepada serangan Spurs.
Winks menguasai bahagian tengah dengan hantaran-hantaran tepat sekaligus memberi kelebihan kepada Tottenham di bahagian tengah. Perkara sama turut berlaku ketika aksi di Bernabeu ketika berhadapan dengan Real Madrid.
Corak yang sama turut dihasilkan. Hantaran-hantaran ke bahagian serangan lebih banyak tertumpu ke bahagian sayap untuk membenarkan Tottenham memulakan serangan.
Walaupun pada asasnya Harry Winks adalah seorang pemain tengah bertahan, corak permainannya persis seorang deep lying plamaker di dalam pasukan Tottenham Hotspur.
Aspek penambahbaikan
Untuk menyamakan Winks kepada legenda Itali, Andrea Pirlo, adalah tidak munasabah buat masa ini. Untuk sampai ke tahap itu, Winks memerlukan lebih banyak pengalaman dan minit di atas padang untuk meraih pengalaman.
Pirlo adalah pemain yang istimewa kerana kebijaksanaan dan ketenangan beliau membaca perlawanan dari bahagian tengah.
Ini adalah satu aspek yang perlu dipelajari oleh Winks terutama ketika berhadapan dengan pemain lawan yang memiliki susuk tubuh yang lebih besar.
Bertubuh kecil dan hanya berketinggian 178cm, jelas fizikal adalah salah satu aspek yang turut perlu diberi perhatian oleh beliau.
Rumusan
Pada usia 21 tahun, kami berpendapat Harry Winks mempunyai masa hadapan yang cerah di dalam karier bola sepaknya. Jelas sekali Winks adalah permata kepada Tottenham Hotspur dan juga England.
Namun Winks bukanlah pemain yang lengkap. Beliau perlu digilap untuk terus menyerlah pada masa hadapan. Buat masa ini, Mauricio Pochettino telah melakukan tugasan yang baik dalam mengetengahkan bakat seperti Winks.
Aspek kecederaan turut juga merupakan satu lagi perkara yang perlu dielakkan pada peringkat karier Harry Winks.
Jika semuanya berjalan lancar, maka tidak syak lagi. Harry Winks akan menjadi maestro baru Tottenham Hotspur dan England satu hari nanti.