Ia adalah gol sulung Harry Maguire di pentas antarabangsa bersama England. Lebih manis, ia dilakukan untuk membantu skuad The Three Lions mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018.
Siapakah yang boleh meramalkan pengakhiran perjalanan Maguire bersama England di Rusia selepas ini?
Dari Perancis ke Rusia
Dari Perancis ke Rusia, ia adalah perjalanan yang berbeza buat Maguire bersama England.
Dua tahun lalu, Harry Maguire berada di Perancis bersama rakan-rakan untuk menyaksikan aksi England di Euro 2016.
Jika Maguire tidak beraksi dalam perlawanan menentang Sweden pada malam tadi, beliau mungkin sedang menonton perlawanan tersebut bersama rakan-rakan atau ahli keluarga.
Pada malam tadi, pemain pertahanan Leicester City ini menampilkan persembahan istimewa untuk membantu negaranya menewaskan Sweden di peringkat suku akhir Piala Dunia 2018.
Tampil sebagai antara pemain terbaik England sepanjang lima perlawanan setakat ini, aksi Maguire pasti mulai menarik perhatian kelab-kelab utama Liga Inggeris.
Sentiasa menghargai dan berbangga menyarung jersi The Three Lions di Rusia, lagaknya masih seperti seorang jejaka yang baru sahaja memenangi hadiah cabutan bertuah- teruja, dan terus merenung nasib yang menyebelahi dengan penuh rasa bersyukur.
Hakikatnya, perjalanan Maguire sehingga berjaya ke Rusia bersama England penuh dengan liku, namun menarik untuk kita ikuti.
Personaliti Maguire tarik perhatian Shakespeare
Untuk apa yang dicapai oleh Maguire pada hari ini, beliau pasti akan kembali mengingati detik-detik perpindahan dari Hull City ke Leicester City.
Individu yang bertanggungjawab membawa Maguire ke King Power Stadium tidak lain dan tidak bukan ialah bekas pengurus, Craig Shakespeare.
Apa yang membuatkan Shakespeare tertarik dengan Maguire ialah personaliti pemain tersebut yang sentiasa merendahkan diri; namun memiliki tahap keyakinan tinggi untuk memajukan diri, berdisiplin, dan juga sentiasa memastikan diri berpijak di bumi nyata.
“Maguire adalah sasaran utama kami di jendela perpindahan musim panas yang lalu. Selepas berakhir musim Liga Inggeris, Maguire berada di Majorca bercuti bersama keluarganya.”
“Enggan membuang masa, saya turut ke sana untuk berjumpa dengan beliau. Kami makan tengah hari bersama, dan memaklumkan perancangan kelab, dan juga pendapat bagaimana beliau boleh terus berkembang jika menyertai kami.”
“Saya tahu Leicester adalah kelab yang tepat untuk beliau meneruskan karier, mengambil kira personaliti yang dimilikinya. Beliau kelihatan berminat dengan idea yang saya tampilkan.”
“Semua soalan oleh Maguire kepada saya selepas itu ialah mengenai corak permainan kami, dan juga mengenai kelab bola sepak Leicester City.”
Selepas itu Shakespeare sedar, pemain ini mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh, sebelum bertindak pantas mengikat beliau untuk menyertai mereka.
Pada ketika itu Maguire turut mempunyai pilihan untuk menyertai Tottenham Hotspur, namun beliau tetap memilih untuk meninggalkan Hull City untuk menyertai The Fox.
Perjalanan karier
Ditandatangani oleh Leicester City dengan tanda harga £17 juta, prestasi cemerlang pemain berusia 25 tahun ini di Rusia adalah gambaran kepada perjalanan karier Maguire sejak menyertai akademi bola sepak The Blades.
Sheffield adalah sebuah bandar yang berlatarkan industri pembuatan besi. Kerana itulah ianya digerlar sebagai Steel City (Bandar Besi).
Ketika zaman kanak-kanak, Maguire adalah seorang penyokong kelab bola sepak Sheffield Wednesday. Namun di usia remaja, Maguire memilih untuk menyertai seteru setempat di Steel City, Sheffield United.
Bersama United, Maguire pantas dilihat sebagai salah seorang prospek muda yang berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat tertinggi.
Tidak sukar untuk mengesan bakat hebat seperti Maguire. Di usia muda lagi, pemain ini sudah memiliki susuk tubuh yang tegap berbanding pemain lain seusianya.
Antara aset dan kebolehan teknikal yang dimiliki oleh Maguire ialah ketepatan dalam melakukan hantaran jarak jauh. Hasilnya, Maguire membantu skuad akademi Sheffield United mara sehingga ke perlawanan akhir FA Cup Youth pada musim 2010-2011.
Namun demikian, Sheffield United tewas 6-3 secara agregat kepada barisan pemain muda Manchester United yang terdiri daripada pemain seperti rakan sepasukan England, Jesse Lingard, Paul Pogba dan Ravel Morrison.
Debut Maguire bersama skuad senior The Blades tiba pada usia beliau 18 tahun apabila Micky Adams menurunkan beliau daripada bangku pemain simpanan untuk berhadapan dengan Cardiff City yang berada di bawah kendalian Craig Bellamy pada musim tersebut.
Tidak menoleh ke belakang
Sejak melakukan penampilan pertama bersama skuad senior, Maguire sedar beliau harus terus maju ke hadapan dan tidak pernah menoleh ke belakang lagi.
Mengulas penampilan pertama Maguire bersama pasukan, Adams berkata:
“Ia adalah ketika ramai pemain senior mulai berada di penghujung karier di kelab ini. Dan saya diberikan banyak tekanan untuk menyenaraikan pemain muda.”
“Hanya beberapa minit aksi, Harry [Maguire] hampir menghukum kami melalui kesilapan yang dilakukannya.”
“Menariknya, kesilapan tersebut tidak menjejaskan tumpuan dan persembahan beliau sepanjang perlawanan.”
“Maguire selesa ketika menguasai bola. Terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan kepantasan beliau kerana saiz badan, tetapi tidak mudah untuk lawan melepasi beliau begitu sahaja.”
“Saya sentiasa yakin beliau akan berjaya satu hari nanti. Adakah saya terperanjat melihat aksi Maguire di Rusia?”
“Mungkin, tetapi itulah semangat dan personaliti mereka daripada Yorshire yang membarisi separuh dari pasukan England kali ini. Kami sentiasa menampilkan sikap yang bagus.”
Maguire memenangi tiga pemain terbaik tahunan secara berturut-turut di United sebelum berhijrah menyertai Hull City dengan nilai perpindahan £2.5 juta pada 2014.
Bersama kelab timur Yorshire itu, Maguire mengalami beberapa musim seperti roda yang agak berliku.
Mereka disingkirkan daripada Liga Perdana Inggeris (EPL), sebelum menang perlawanan akhir play-off di Campionship untuk kembali beraksi di saingan tertinggi Liga Inggeris itu, sebelum tersingkir lagi pada musim berikutnya.
Spurs dan Stoke antara pasukan yang pantas mengintai untuk mendapatkan khimat Maguire. Namun ianya adalah Shakespeare dan Leicester City yang berjaya meyakinkan Maguire.
Merupakan Pemain Terbaik Tahunan di kempen musim pertama di King Power Stadium, Maguire dijangka akan diberikan kontrak baharu sekembalinya daripada Rusia.
Seperti Jamie Vardy yang juga pemain kelahiran Sheffield, Maguire adalah watak yang amat disenangi di kalangan pemain di bilik persalinan The Fox sehingga turut memenangi anugerah Players’ Player pada musim lalu.
Si kepala lebar
“Si kepala lebar”. Demikianlah nama panggilan Maguire di dalam skuad England yang diberikan oleh rakan sepasukan, Vardy.
Di dalam satu temuramah bersama wartawan di awal kempen Piala Dunia, Vardy sempat mengusik Vardy sehingga membuatkan wartawan terpinga-pinga.
“Hai. Saya ialah Jamie Vardy dari media Vardy. Berapakah ukuran diameter kepala anda?” Tanya penyerang tersebut yang kemudiannya disambut dengan tawa oleh Maguire.
Itu adalah temuramah yang diadakan kira-kira lebih dua minggu yang lalu. Pada Rabu akan datang, Maguire akan terus menjadi sandaran England di bahagian benteng untuk berhadapan Croatia di separuh akhir Piala Dunia 2018.
Rumusan
Berjaya melayakkan diri ke separuh akhir, ini bermakna semua empat pasukan yang masih tinggal memiliki baki dua perlawanan di Rusia.
Apakah pengakhirannya buat England? Adakah nyanyian ‘Football’s Coming Home’, akan menjadi realiti.
Apapun kesudahannya, Maguire akan dikenali sebagai antara pemain pertahanan terbaik dengan potensi untuk dibangunkan lagi, yang dimiliki England.