Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane secara terbuka mengakui beliau cukup gembira dengan hasil dari undian peringkat kumpulan UEFA Champions League (UCL) baru-baru ini.
Menurut laman Barca Blaugranes, Kane jelas teruja dengan hasil dari undian tersebut yang menyaksikan pasukannya akan bertemu dengan 3 pasukan utama di Eropah.
Mereka diundi dalam kumpulan B bersama-sama dengan juara La Liga, Barcelona serta gergasi Itali iaitu Internazionale dan juga wakil Belanda – PSV Eindhoven.
Kane secara terang-terangan gembira dengan undian ini kerana beliau dan rakan-rakan dapat beraksi dan menetang pasukan-pasukan utama di dunia serta bermain di stadium yang hebat.
“Ianya satu undian yang cukup hebat, perlawanan di stadium-stadium masyhur seperti Nou Camp dan juga San Siro. Ianya satu undian yang cukup baik, perlu diraikan.”
Kane sedar tugas mereka akan sukar untuk berhadapan dengan pasukan seperti Barcelona, namun beliau mengakui semuanya boleh diatasi dengan baik.
“Barcelona akan menjadi satu ujian yang cukup berbeza tetapi untuk bermain di stadium seperti Nou Camp dan berhadapan dengan beberapa pemain terbaik dunia, ianya hebat untuk bermain dalam perlawanan sebegini.”
“Perlawanan menentang PSV Eindhoven juga sukar kerana mereka adalah pasukan utama di Belanda, begitu juga dengan Internazionale, mereka ada sejarah yang begitu hebat.”
“Seperti yang saya katakan, ianya satu undian yang baik.”
Musim lalu, Tottenham Hotspur berjaya menjadi juara kumpulan dalam undian maut yang turut dihuni oleh Real Madrid dan juga Borussia Dortmund.