Harry Kane “Buat Perangai”, Sengaja Ponteng Latihan Pra Musim Tottenham

`

Harry Kane dilaporkan gagal melaporkan diri untuk latihan pra musim bersama Tottenham Hotspur semalam dan tindakan tersebut dipercayai untuk mendesak pihak pengurusan kelab menjualnya kepada Manchester City.

Kane sepatutnya kembali bersama Spurs semalam selepas tamat tempoh percutian, berikutan komitmen beliau bersama skuad kebangsaan England di Euro 2020.

Bagaimanapun kelibat pemain itu tidak kelihatan, dan disahkan gagal melaporkan diri untuk latihan pra musim di bawah kendalian pengurus baharu, Nuno Espirito Santo.

Gentlemen agreement

Laporan daripada The Athletic sebaliknya mendedahkan Kane menuntut perjumpaan dengan pengerusi kelab, Daniel Levy untuk menyatakan keinginannya menyertai juara bertahan Premier League, Manchester City.

Kane percaya beliau mempunyai ‘gentlemen agreement’ bersama Daniel Levy yang membenarkan beliau meninggalkan Spurs sekiranya terdapat tawaran yang munasabah daripada mana-mana kelab besar di Premier League.

Walaupun Kane dan City dipercayai sepakat dalam perpindahan tersebut, Levy dikatakan terus berdegil membenarkan penjualan aset paling berharga kelab itu.

Ia berikutan kontrak baharu selama enam tahun yang ditandatangani oleh Kane pada 2018.

Selain Kane, City telah menawarkan pemain dan tunai berjumlah £100 juta untuk mendapatkan rakan sepasukan Kane di dalam pasukan England, Jack Grealish.

Punca Kane mahu tinggalkan Spurs

Ia bukan rahsia lagi Kane mahu meninggalkan Spurs pada jendela perpindahan musim panas ini. Pemain itu dikatakan kecewa kerana gagal memenangi trofi bersama Spurs, dan musim kedua tanpa pertandingan UEFA Champions League.

Kapten England itu risau potensi untuk memenangi sebarang kejuaraan kini semakin jauh berbanding ketika beliau menandatangani kotrak baharu pada 2018.

Pada Mei lalu melalui satu tembual bersama Gary Neville untuk sebuah podcast, Kane mendedahkan beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Levy mengenai masa depan beliau untuk perbincangan yang jujur.

Pada ketika itu, Kane sangat yakin dirinya dan Levy memiliki “gentleman’s agreement”  yang membenarkan beliau untuk meninggalkan Spurs pada musim panas ini.

Bagaimana reaksi Spurs?

Ini bukan kali pertama Spurs berhadapan dengan situasi sebegini daripada pemain bintang mereka. Pada 2008, Dimitar Berbatov turut memberitahu Levy mahu meninggalkan Spurs.

Berbatov kemudiannya bertindak memberitahu Juande Ramos tidak menurunkan dirinya dalam perlawanan menentang Sunderland dan Chelsea dengan alasan tidak fokus terhadap perlawanan tersebut.

Akhirnya Berbatov dibenarkan berhijrah menyertai Manchester United pada nilai £31 juta pada hari terakhir perpindahan. Berbatov beraksi selama empat musim bersama Manchester United selepas itu dengan pelbagai koleksi kejuaraan.

Sebelum perpindahan ke Real Madrid, Gareth Bale juga pernah bertindak tidak melaporkan diri ke kem latihan dalam usaha memaksa penghijrahan ke Sepanyol.

Strategi sama bagaimanapun tidak berkesan buat seorang lagi bekas pemain Spurs, Luka Modric. Pada musim panas 2011, Tottenham menolak bidaan £22 juta, dan kemudian £27 juta daripada Chelsea untuk pemain antarabangsa Croatia itu.

Modric kemudiannya memboikot latihan kerana percaya dirinya dan Levy mempunyai “gentleman’s agreement” untuk membenarkan penghijrahan ke kelab yang lebih besar.

Akhirnya Modric terus kekal di utara London untuk semusim lagi sebelum berpindah ke Real Madrid dengan nilai £30 juta pada musim panas berikutnya.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN