Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dijangka akan melakukan rombakan kecil dalam kesebelasan utama menjelang aksi persahabatan menentang Kemboja di Stadium Olimpik Phnom Penh pada malam ini.
Menurut laporan daripada berita harian, beberapa pemain yang beraksi menentang Taiwan jumaat lepas masih kepenatan dan ia membuka peluang kepada pemain simpanan untuk memikat Tan Cheng Hoe.
“Selepas kalah dengan Taiwan, ia sedikit sebanyak mengganggu mental pemain dan saya harap mereka kembali bersedia.
“Saya mungkin akan membuat sedikit rombakan kerana ada pemain yang masih kepenatan akibat bermain dalam padang becak menentang Taiwan,” katanya.
Kehadiran pemain tengah Terengganu FC, Thierry Chantha Bin dan bekas penyerang Negeri Sembilan Prak Mony Udom dan PKNP FC Keo Sokpheng dalam skuad Kemboja pasti memberi kelebihan kepada tuan rumah kerana mereka sudah masak dengan corak permainan Malaysia.
Mengulas mengenai perkara itu, Cheng Hoe mahu anak buahnya memberi tumpuan penuh dan berwaspada terhadap ancaman barisan serangan pasukan itu yang dilatih oleh bintang Jepun, Keisuke Honda.
“Kita tahu mereka ada tiga pemain yang masih dan pernah beraksi di Malaysia, sudah tentu sedikit sebanyak mereka tahu kekuatan pemain Malaysia. Mungkin dengan jurulatih baharu, Keisuke Honda, ia akan memberi impak terbaik.
“Saya harap pemain kita tidak tertekan, memberikan persembahan terbaik kerana kita masih lagi mencari kombinasi antara pemain,” katanya.
Kemenangan ke atas Kemboja cukup penting buat Harimau Malaya selepas merekod kekalahan 0-2 dengan Taiwan dalam satu lagi aksi persahabatan di Taipei City, Jumaat lalu.
Selain merupakan sebahagian daripada persiapan menghadapi Piala AFF pada November depan, perlawanan itu juga merupakan medan untuk memperbaiki kedudukan ranking FIFA negara.