Hasrat untuk melihat muka pemain baharu menyertai skuad kebangsaan bakal terlaksana dengan terbaharu, dua tonggak dari luar negara bakal menjadi ahli keluarga baharu Harimau Malaya.
Menerusi perkongsian dibuat oleh Zulhelmi Zainal Azam selaku wartawan Astro Arena, beliau mengesahkan dua pemain dari luar negara iaitu Wan Kuzain Wan Kamal (Amerika Syarikat) bersama Mats Deijl (Belanda) bakal memperkuatkan skuad bola sepak Malaysia.
“Skuad Harimau Malaya dapat dua pemain baru, berpangkalan di luar negara.!Wan Kuzain Wan Kamal dan pertahanan kelahiran Belanda, Mats Deijl!” jelas Zulhelmi di media sosial X sebentar tadi.
Skuad Harimau Malaya dapat dua pemain baru, berpangkalan di luar negara.!Wan Kuzain Wan Kamal dan pertahanan kelahiran Belanda, Mats Deijl! 🇳🇱🇲🇾🔥@ASTROARENA pic.twitter.com/RxL9IJ48pC
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) August 29, 2024
Untuk rekod, kedua pemain ini dilaporkan akan didaftarkan pada masa akan datang untuk menambah kekuatan Malaysia di pentas antarabangsa
Walaupun dilaporkan bakal menyertai Harimau Malaya tidak lama lagi, tanda tanya masih tercetus dalam kalangan peminat bola sepak tanah air mengenai status semasa mereka jika dapat beraksi dalam tempoh segera atau lebih lama perlu menunggu.
Untuk rekod, Wan Kuzain sebelum ini sudah lama diperkatakan bakal menyarung jersi Harimau Malaya, sebelum ia terpaksa ditangguhkan seketika atas pelbagai isu-isu lain.
Menjadi antara bintang muda yang menyerlah di Amerika Syarikat, Wan Kuzain telah beraksi untuk beberapa kelab dan terbaharu menjadi salah seorang tonggak penting buat St. louis 2 di pentas MLS Next Pro.
Setakat ini, beliau sudah pun beraksi sebanyak 14 perlawanan dan telah meledak tiga jaringan secara keseluruhan bersama aksi cukup menyakinkan selaku tonggak tengah pasukan.
Sepanjang di Amerika Syarikat, Wan Kuzain telah merekodkan 159 penampilan bersama 23 gol serta 14 bantuan jaringan secara keseluruhan di saingan domestik.
Terarah kepada Mats Deijl pula, beliau beraksi selaku pertahanan kanan dan kini sedang mewakili Go Ahead Eagles dalam saingan utama Belanda.
Rekod musim ini menyaksikan Deijl telah pun bermain sebanyak lima perlawanan bersama kelab tersebut, termasuk bagi kelayakan UEFA Conference League sewaktu menentang Brann.
Statistik penuh menyaksikan Deijl telah pun beraksi sebanyak 231 perlawanan dan pemain berusia 27 tahun itu turut menyumbang sembilan gol serta 16 bantuan jaringan secara keseluruhan.
Ketika ini, sudah tentu lebih ramai pemain yang memiliki pertalian darah bersama Malaysia ditagih penyokong untuk terus memantapkan skuad kebangsaan.
Selain misi melayakkan diri sekali lagi ke pentas Piala Asia, kebanyakan juga berharap supaya Malaysia mampu mara lebih jauh dalam aksi kelayakan Piala Dunia suatu hari nanti.