Bagi menghadapi saingan Piala AFF yang akan bermula pada bulan Disember tahun ini, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu memastikan pasukannya lebih bersedia dari fizikal dan kecergasan.
Menurut laporan media tempatan, Berita Harian, Cheng Hoe merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa berkelas ‘A’ sebelum kejohanan tersebut
.”Kami sedang menilai pasukan lawan untuk perlawanan persahabatan pada Julai ini, serta September dan Oktober. Saya harap kami akan bermain dalam tiga atau empat perlawanan persahabatan sebelum Piala AFF,” katanya.
Difahamkan undian Piala AFF akan berlangsung pada hari esok di Jakarta, Indonesia. Namun, Cheng Hoe mahu anak buahnya bersedia berdepan mana-mana pasukan yang akan diundi sekumpulan dengan mereka.
Saingan Piala AFF kali ini berbeza apabila setiap pasukan akan mengharungi perlawanan di gelanggang sendiri dan gelanggang lawan di peringkat kumpulan.
“Ia bagus untuk pasukan beraksi di tempat sendiri dan di tempat lawan di peringkat kumpulan kerana semua pasukan berpeluang melakukan yang terbaik.
Bagaimanapun, pemain perlu bersedia dari segi mental kerana perlu menempuh perjalanan sepanjang kejohanan itu,” kata Cheng Hoe.
Malaysia yang menduduki ranking ke-170 dunia berada dalam balang dua dengan Indonesia manakala juara bertahan Thailand dan Vietnam diletakkan dalam balang satu.
Myanmar dan Filipina berada di balang tiga manakala bekas juara Singapura dan Kemboja balang empat.
Laos dan Brunei atau Timor Leste pula berada dalam balang lima. Pemenang pusingan playoff sama ada Brunei dan Timor Leste bakal mengisi slot pasukan ke-10.
Pada edisi 2016, Thailand mengalahkan Indonesia dengan agregat 3-2 di final manakala Malaysia di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal melepasi peringkat kumpulan.
“Kita diundi dalam kumpulan mana tidak penting kerana standard permainan di kalangan pasukan di rantau ini hampir sama.” jelasnya.
“Objektif kami adalah untuk terus meningkat sepanjang kejohanan ini. Sudah pasti kami mahu menang. Ia penting untuk kami mendapatkan keyakinan,” katanya.
Pada bulan lalu, Cheng Hoe memulakan langkah baik sebagai jurulatih apabila Malaysia menamatkan kemarau 12 perlawanan tanpa kemenangan dengan mencatat kemenangan terbesar dalam tempoh 23 tahun selepas membelasah Bhutan 7-0 pada aksi persahabatan.