Skuad Harimau Malaya kemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh untuk perlawanan antarabangsa yang seterusnya gara-gara kerana pemain itu didakwa melontarkan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan ketika aksi final kedua Piala AFF 2018.
Setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan dalam Berita Harian bahawa pemain naturalisasi pertama negara itu telah digantung empat perlawanan dan didenda sebanyak AS$5,000 (RM21,000) oleh Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).
“FAM menerima keputusan membabitkan Sumareh itu semalam (Jumaat) dan pemain itu sah dikenakan denda serta penggantungan empat perlawanan,” kata Stuart Ramalingam.
Difahamkan FAM juga memohon ‘penjelasan’ lanjut mengenai layangan kad merah kepada Sumareh ketika minit akhir aksi final Piala AFF 2018 bertemu Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi. Malah mereka akan membuat rayuan untuk mengurangkan hukuman itu.
“Kami sudah memohon penjelasan dan akan mengemukakan rayuan terhadap penggantungan itu.
“Rayuan adalah untuk mengurangkan penggantungan perlawanan kerana hukuman bukan setakat untuk aksi AFF namun bagi aksi persahabatan kita selepas ini,” katanya.
Insiden itu dikatakan berlaku ketika Shahrul Saad diperintahkan keluar padang pada masa kecederaan susulan kad kuning kedua.
Ia mengingatkan kepada pengulangan drama apabila penjaga gol negara, Farizal Marlias dikenakan penggantungan setahun daripada semua pertandingan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tahun lalu ketik mewakili JDT.
Penggantungan itu mungkin menyaksikan Sumareh bakal terlepas aksi Pestabola Merdeka pada bulan Mac 2019 selepas skuad senior sah menggantikan skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) yang akan mengharungi AFF B23 di Kemboja dan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020.
Selain Sumareh, khidmat pertahanan tengah dari Perak, Shahrul Saad juga tidak dapat digunakan kerana digantung satu perlawanan.