Ranking FIFA/Coca-cola yang dikeluarkan pada hari ini menyaksikan peningkatan kedudukan pasukan negara apabila berada di kedudukan ke-169 dunia.
Kedudukan tersebut dibantu oleh dua perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan negara sepanjang Oktober ini.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe merekodkan kemenangan 4-1 ke atas Sri Lanka yang berada di kedudukan ke-201 dunia di Colombo, sebelum tewas 1-0 kepada Krygyzstan 1-0 di Melaka pada 16 Oktober lalu.
Dalam perkembangan lain, Belgium kini adalah pasukan yang berada di tangga teratas ranking FIFA, mengatasi juara dunia Perancis dengan kelebihan 1 mata.
Prestasi buruk Jerman sejak kejohanan Piala Dunia dan beberapa perlawanan antarabangsa yang lain menyaksikan mereka turun dua anak tangga, ke kedudukan ke-14 pada Oktober ini.
Manakala Belanda yang mencatatkan beberapa keputusan positif sejak kebelakangan ini, naik dua anak tangga untuk berada di kedudukan ke-15 di belakang Jerman.
Iran pula menjadi pasukan terbaik dari rantau Asia apabila naik tiga anak tangga untuk berada di kedudukan ke-30 dunia, manakala Vietnam kekal sebagai pasukan terbaik dari rantau Asia Tenggara di ranking ke-102 dunia.
Gibraltar, sebuah negara kecil di Eropah mencatatkan peningkatan tertinggi di dalam kedudukan ranking FIFA pada Oktober ini selepas mencatatkan dua kemenangan berturut-turut dalam pertandingan UEFA Nations League sepanjang Oktober lalu.
Gibraltar menduduki tangga ke-198 dunia pada September, naik lapan anak tangga untuk mengakhiri bulan Oktober di tangga ke-190 dunia.
Tidak mustahil negara yang baru menjadi anggota FIFA pada 2016 itu akan terus merekodkan peningkatan di dalam kedudukan ranking FIFA/Coca-Cola, jika terus menampilkan peningkatan dalam beberapa perlawanan kompetitif akan datang.