Revolusi Harimau Malaya sememangnya menjadi suatu yang sangat menarik untuk diperkatakan kini dalam kalangan peminat atau pemerhati bola sepak tempatan setelah pelbagai perbincangan ditimbulkan menerusi media sosial.
Menerusi cetusan dicipta oleh Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail, beberapa perubahan besar dijangka berlaku secara berperingkat demi menaikkan kembali mutu bola sepak negara di pentas antarabangsa.
Suka atau tidak, revolusi ini bukan lagi bersifat kehendak tetapi ia juga bersifat keperluan setelah melihat pelbagai situasi melanda bola sepak Malaysia kini jika dibandingkan negara-negara jiran.
Keseragaman itu merupakan suatu keperluan kerana masing-masing dapat bertindak dengan sangat baik untuk memahami antara satu sama lain baik daripada segi akar umbi, teknikal, serta taktikal skuad utama.
Jika melihat kepada situasi kini, Harimau Malaya sudah mengamalkan langkah pandang ke Australia dengan membabitkan jurulatih skuad utama kebangsaan, pengarah teknikal di Akademi Mokhtar Dahari untuk pembangunan akar umbi, serta kelibat Scott O’Donell sendiri dari negara tersebut selaku Pengarah Teknikal FAM.
Ura-ura turut menyatakan legenda bola sepak Australia iaitu Tim Cahill bakal menyertai skuad revolusi FAM dan sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada perkembangan rasmi mengenai beliau.
Ketika ini, nama jurulatih baharu dari Australia iaitu Peter Cklamovski telah pun diperkenalkan secara rasmi semalam menerusi perkongsian FAM sendiri.
Melihat kepada kehadiran jurulatih tersebut, pengendali berpengalaman iaitu Sulaiman Hussin menganggap ia sebagai peralihan baharu untuk falsafah bola sepak Malaysia yang mula mengamalkan dasar pandang ke Australia.
“Untuk pasukan kebangsaan, saya melihat kita kini mula mengamalkan dasar pandang Australia selepas kita pernah mendapat sentuhan daripada tenaga kejurulatihan dari Korea Selatan.
“Kini kita telah beralih ke negara Kanggaru dengan jurulatih baharu berasal dari Australia, Pengarah Teknikal FAM dari Australia serta Pengarah Teknikal AMD sendiri dari Australia.
“Jadi saya lihat ia sebagai suatu perubahan cukup baik apabila FAM melantik jurulatih dari Australia tersebut yang mempunyai rekod cukup baik bersama kelab dan pasukan kebangsaan sebelum itu.
“Pastinya saya berharap beliau diberi ruang dan sepenuh kuasa untuk mendapatkan pemain berkualiti serta pemain warisan selepas kita tahu ianya merupakan revolusi baharu buat pasukan kebangsaan.
“Ianya demi untuk kita mempersiapkan pasukan terbaik yang boleh berdaya saing menerusi pengalaman dimiliki jurulatih baharu itu untuk membawa kita secara merit ke Piala Asia di Arab Saudi,” ujar beliau.
Pada masa sama, bekas jurulatih Kuching City itu juga turut berharap segala perancangan diatur kini dilakukan secara tidak tergesa-gesa dan dibuat secara teratur.
“Saya tak mahu ia berlaku dengan bagus sekejap kemudian ia mula berlaku secara tidak konsisten daripada segi perkembangan skuad Malaysia di pentas antarabangsa.
“Saya harap Cklamovski dapat melihat sistem yang bersesuaian untuk diterapkan kepada pasukan negara kita menerusi barisan sedia ada serta pemain baharu akan masuk kemudian.
“Saya juga turut berharap kejayaan yang pernah dilakar beliau sebelum ini bersama pasukan Australia dapat diterjemahkan untuk kita juga.
“Selaku seseorang yang turut terlibat dalam dunia bola sepak tempatan, saya berharap beliau dapat mencipta sesuatu untuk mengangkat martabat bola sepak kita kembali menjadi antara terkuat di Asia Tenggara serta memberi cabaran sengit di pentas Asia,” ulas beliau akhir sekali.