Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengesahkan dua pemain mengalami kecederaan dan dijangka tidak akan beraksi berdepan Kyrgyzstan pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat malam ini.
Walaubagaimanapun, Cheng Hoe tidak berhasrat memanggil pemain lain bagi menggantikan 2 pemain itu iaitu Shahrel Fikri dan Matthew Davies sebaliknya akan menggunakan pemain yang ada daripada senarai 23 pemain yang telah dipanggil ke kem latihan pusat.
“Sebaliknya, kami menggunakan senarai 23 pemain yang ada dan keputusan akhir siapa yang akan diturunkan akan terjawab menjelang perlawanan.
“Bagaimanapun, Akram Maninan yang tidak ke Colombo kembali bersama pasukan di Melaka belum cergas sepenuhnya dan Azizan Nordin, namun saya yakin pemain lain akan memberikan yang terbaik sebagai pengganti bagi menggalas tugas Shahrel dan Matthew Davies,” katanya kepada Berita Harian.
Mengulas mengenai aksi menentang Kyrgyzstan yang menduduki ranking ke 91 dunia, Cheng Hoe mengakui terdapat sedikit peningkatan di bahagian serangan pasukannya dan beliau yakin skuad Harimau Malaya mampu memberikan saingan.
“Selepas enam perlawanan persahabatan, terdapat peningkatan dalam skuad ini, terutama di barisan serangan.
“Apa yang sedikit melegakannya barisan serangan negara tidak bermain secara individu, sebaliknya bergerak sebagai sebuah pasukan.
“Cuma semua pemain diingatkan supaya tidak dibolosi awal dan kemas bertahan serta pada masa sama, tetap mengasak gol lawan untuk memburu jaringan,” katanya.
Sementara itu Kyrgyzstan menjadikan pertemuan berdepan Malaysia malam ini sebagai medan persiapan bagi mengharungi saingan Piala Asia 2019.
Ketua jurulatihnya, Alexander Krestinin, berkata aksi malam esok penting untuk pihaknya menguji persefahaman dan prestasi pemain sebelum menyenaraikan pemain terbaik ke Piala Asia.
Beliau juga mengakui banyak memperolehi banyak maklumat tentang corak permainan pemain Malaysia melalui pemain import Kelantan, Bakhtiyar Duyshobekov yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia selama 6 bulan.
“Kami sedikit sebanyak memperoleh pengetahuan mengenai pasukan Malaysia menerusi Bakhtiyar Duyshobekov yang bermain di posisi tengah bersama pasukan Kelantan.
“Perkongsian maklumat itu mampu menjadi panduan buat kami berdepan lawan, selain pengalamannya (Bakhtiyar) beraksi di negara ini,” katanya.