Di atas kertas Maldives sememangnya lebih gah berbanding pasukan negara.
Negara berkenaan berada pada ranking ke-151 dunia, berbanding anak buah Tan Cheng Hoe yang kini menduduki tangga ke-169.
Malam ini kedua-dua pasukan akan berhadapan satu sama lain di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam aksi persahabatan.
Ini adalah perlawanan persahabatan terakhir buat pasukan negara sebelum membuka tirai saingan Piala AFF Suzuki lima hari kemudian menentang Kemboja, diikuti Vietnam pada 16 November.
Walaupun Maldives berada di kedudukan yang lebih tinggi di dalam ranking FIFA, skuad negara tidak seharusnya memberi alasan untuk menampilkan prestasi terbaik untuk mencatat kemenangan.
Apatah lagi dengan persiapan yang dihadapi barisan pemain Maldives seperti yang didedahkan oleh pengendali mereka Petar Segrt.
“Kami tiba di sini semalam namun belum lagi sempat menjalani latihan kerana hujan. Kami hanya mendapat peluang menjalani latihan malam ini.
“Barisan pemain kami juga dalam kalangan pemain separuh masa. Sebahagian besar daripadanya tidak berlatih selama enam minggu kerana masalah peribadi.
“Beberapa pemain tonggak turut cedera, jadi kami terpaksa membawa pemain muda ke sini,” katanya pada sidang media pra di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Selain daripada itu Petar Segrt turut mendedahkan pemain-pemain beliau sebenarnya sudah tidak menjalani latihan sejak enam minggu lalu selepas menjuarai Piala Persekutuan Bolasepak Asia Selatan (SAFF) 2018 pada September lalu.
Namun demikian jurulatih yang turut pernah menjadi pengendali pasukan kebangsaan Afghanistan itu mahu anak buahnya menampilkan aksi terbaik, dan melupakan status juara Asia Selatan dalam perlawanan pada malam ini.
“Kejuaraan ini sudah berlalu jadi kita tidak boleh terlalu terbawa-bawa dengannya. Bagi saya, ini aksi yang berlainan.
“Kita perlu perlu bermula daripada kosong. Mereka perlu bermain sepenuh hati dan dengan keyakinan bagi mendapatkan keputusan yang positif,” katanya.