Harimau Malaya Dalam Misi Memburu Kemenangan Sulung

Malaysia kini dalam usaha bagi menghidupkan peluang untuk layak ke Piala Asia 2019 dengan cuba meraih mata maksimum di halaman sendiri ketika melayan kunjungan Hong Kong malam ini di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Selepas tewas dalam perlawanan pertama dan akan bertemu Korea Utara untuk aksi ketiga kumpulan, Malaysia seharusnya berusaha keras untuk meraih keputusan positif pada perlawanan malam ini.

Sebelum Sepak Mula

Malaysia tewas dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia menentang Lubnan walaupun telah mempamerkan aksi yang positif pada awalnya, dikecewakan lawan dengan gol di penghujung perlawanan.

Begitu juga dalam aksi persahabatan menentang Syria dan Myanmar tempohari, skuad kendalian Nelo Vingada masih menyajikan skrip yang sama apabila bolos di penghujung perlawanan, secara tepatnya selepas 80 minit beraksi.

Jadi, perlawanan menentang Hong Kong malam ini perlu dimanfaat sepenuhnya agar Malaysia tidak lagi kehilangan peluang untuk meraih mata terutamanya kelalaian di saat-saat akhir perlawanan.

Dijangkakan tiada perubahan ketara yang bakal dibuat oleh Vingada. Khairul Azhan bakal berada di gawang dan akan membina kubu bersama Aidil Zafuan, Shahrom Kalam, Rizal Ghazali serta Nazirul Naim.

Di jentera tengah, Kiko Insa akan diletakkan di posisi lebih bertahan, sementara Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal berkemungkinan akan melengkapkan gandingan tiga pemain di tengah.

Syazwan Zainon dijangka bakal mengemudi bahagian sayap Harimau Malaya. Foto: www.asiana.my

Di bahagian sayap, Baddrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon bakal digunakan oleh Vingada dalam usaha untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan. Penyerang tunggal yang dijangka bakal diletakkan adalah Hazwan Bakri.

Hong Kong yang diperkuatkan oleh beberapa pemain natrulalisasi di beberapa posisi penting seperti Jaimes McKee dan Alex Akande di jentera serangan tampak boleh menghadirkan ancaman buat Harimau Malaya.

Penyerang Hong Kong, Chan Siu Ki yang perlu diberikan perhatian khusus. Foto: Handout

Namun penyerang utama mereka, Chan Siu Ki pastinya akan menjadi nadi penggerak pasukan. Siu Ki kini memiliki kaps dan jaringan tertinggi buat skuad The Dragons.

Penyerang berusia 32 tahun itu telah merekodkan 66 kaps dan mencetak 37 gol. Dan ketika terikat 1-1 menentang Singapura tempohari, penyerang kelab HK Pegasus FC itu turut menyumbang gol seawal minit pertama.

Pemain Tumpuan

Kiko Insa dalam perlawanan persahabatan menentang Syria. Foto: www.asiana.my

Walaupun hadir ke dalam skuad kebangsaan tanpa reputasi yang baik, Vingada mengakui bahawa kehadiran Insa ke dalam skuad Harimau Malaya telah memberi sedikit penyelesaian kepadanya.

Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Vingada adalah perlindungan khusus kepada benteng pertahanan. Posisinya yang berada sedikit di hadapan benteng membolehkannya lebih awal membaca dan menghalang gerakan lawan.

Sepanjang beraksi dalam dua aksi persahabatan tempohari, skuad negara tidak dibolosi lawan ketika beliau berada dalam padang. Beliau diturunkan dalam kesebelasan utama oleh Vingada dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

Tidak dinafikan, mungkin Malaysia memerlukan pemain yang lebih fizikal seperti Kiko Insa, namun beliau perlu lebih berhati-hati sekiranya tidak mahu diarahkan keluar padang dek layangan kad merah.

Rekod Pertemuan

5 pertembungan terkini, Malaysia menang dua aksi, selebihnya kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri.

  • 9 Februari 2011: Malaysia 2-0 Hong Kong (Persahabatan)
  • 3 Jun 2011: Malaysia 1-1 Hong Kong (Persahabatan)
  • 16 Oktober 2012: Malaysia 3-0 Hong Kong (Persahabatan)
  • 14 November 2012: Malaysia 1-1 Hong Kong (Persahabatan)
  • 6 Jun 2015: Malaysia 0-0 Hong Kong (Persahabatan)

Rekod Semasa

Malaysia (Kalah 3):

  • 13 Jun: Malaysia 1-2 Lubnan (Kelayakan Piala Asia 2019)
  • 22 Ogos: Malaysia 1-2 Syria (Persahabatan)
  • 29 Ogos: Malaysia 0-1 Myanmar (Persahabatan)

Hong Kong (Seri 3):

  • 7 Jun: Hong Kong 0-0 Jordan (Persahabatan)
  • 13 Jun: Hong Kong 1-1 Korea Utara (Kelayakan Piala Asia 2019)
  • 31 Ogos: Hong Kong 1-1 Singapura (Persahabatan)

Ramalan Semuanya BOLA

Perlawanan yang agak sukar jika dilihatkan prestasi semasa skuad kebangsaan ketika ini. Bermasalah untuk mencipta jaringan serta mudah dibolosi di penghujung perlawanan.

Vingada memerlukan formula khas untuk memperbaiki masalah tersebut. Tidak dinafikan, keputusan terkini tampak seperti Malaysia sudah berjaya mengurangkan bolos terutama ketika berdepan negara-negara Asia Barat.

Walaubagaimanapun, Semuanya BOLA masih yakin sesuatu mampu diraih dalam aksi malam ini. Faktor tuan rumah dan beberapa perlawanan yang dihadapi menunjukkan beberapa aspek positif dalam aksi pasukan sedikit sebanyak mampu menghadirkan keceriaan buat penyokong negara malam ini.

Ramalan: Malaysia 1-0 Hong Kong

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN