Skuad Harimau Malaya dibawah bimbingan Tan Cheng Hoe kemungkinan akan bertemu pasukan kebangsaan Ukraine pada aksi perlawanan persahabatan kelas A yang bakal diaturkan kelak.
Menurut laman facebook JOHOR Southern Tigers (JST), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang juga presiden FAM menerima mengadap Olexander Nechytaylo, Duta Ukraine bagi membincangkan jalinan kerjasama hubungan antara Ukraine dan Malaysia melalui bola sepak.
“Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima mengadap Duta Ukraine, Olexander Nechytaylo hari ini. Pertemuan ini bagi membincangkan jalinan kerjasama hubungan antara Ukraine dan Malaysia melalui bola sepak.
“Turut dibincangkan adalah mengadakan perlawanan persahabatan kelas A antara pasukan kebangsaan Malaysia dan pasukan kebangsaan Ukraine di bawah bimbingan legenda bola sepak Ukraine, Andriy Shevchenko.
“Ia sebagai pendedahan kepada pasukan kebangsaan dan juga dapat membantu menaikkan kedudukan pasukan kebangsaan di dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” kata kenyataan itu.
Ukraine yang kini menghuni ranking FIFA ke-35 dunia gagal layak ke kejohanan Piala Dunia di Russia tahun ini dan hanya layak ke saingan Piala Dunia sekali iaitu pada tahun 2006. Ketika itu mereka berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir sekali gus mencatat pencapaian terbaik mereka pada kejohanan itu.
Antara nama besar dalam skuad kebangsaan Ukraine ialah Andriy Yarmolenko yang beraksi bersama Borussia Dortmund, pemain sayap Schalke 04, Yevhen Konoplyanka dan juga penjaga gol Shakhtar Donetsk, Andriy Pyatov.
Mereka juga dijadualkan bertemu 2 pasukan dari Asia pada bulan Mac depan iaitu menentang Arab Saudi di Sepanyol pada 23 Mac dan menentang Jepun pada 27 Mac dalam saingan Piala Cabaran Kirin.
Jika mengikut kekosongan slot jadual perlawanan persahabatan antarabanga, kemungkinan Malaysia ada peluang untuk mengaturkan perlawanan persahabatan dengan negara itu pada bulan April hingga Ogos.
Melalui bacaan di laman web wikipedia, pasukan itu juga akan menyertai UEFA Nations League B pada 6 September hingga 16 November 2018.