Kisah Tunku Abdul Rahman Mahu Ambil Bintang Arsenal Jadi Ketua Jurulatih Malaya

Hari ini, pada 31 Ogos 2019, genaplah 62 tahun negara kita merdeka.

Secara umumnya tarikh 31 Ogos 1957 dikaitkan dengan pengisytiharan kemerdekaan oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka.

Tetapi dalam konteks bola sepak, tarikh itu juga merupakan detik permulaan Pestabola Merdeka – pertandingan bola sepak antara negara-negara (sebelum disertai kelab luar negara pada era 80-an) yang tertua di Asia.

Pestabola Merdeka 1957: cara FAM kumpul dana

Sebagai salah satu cara untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan negara di stadium baru, Stadium Merdeka, kerajaan Malaya menzahirkan hasrat untuk menganjurkan sebuah ‘mini Olimpik’.

Hasrat kerajaan Malaya pada ketika itu menjadi realiti.

Pada hari pengisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka yang serba baru, lebih kurang 700 atlet dari 18 negara turut menghadiri upacara bersejarah tersebut untuk menyertai 12 jenis pertandingan sukan.

Antara sukan yang dipertandingkan adalah:

  • bola sepak (melalui Pestabola Merdeka)
  • badminton
  • olahraga
  • bola keranjang
  • kriket
  • hoki
  • berbasikal
  • tenis
  • renang
  • polo air
  • angkat berat
  • menembak
  • golf

Seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Straits Times pada 1 September 1957, acara yang dijangka paling mendapat banyak perhatian adalah bola sepak.

Persatuan Bola Sepak Malaya (FAM) yang menyedari potensi populariti Pestabola Merdeka ini, pada mulanya mewajibkan pengunjung stadium untuk membeli tiket semua 16 perlawanan (season tickets) terus yang berharga $20 (lebih kurang RM170 hari ini)!

Hanya selepas diminta mempertimbangkan pengunjung stadium di kalangan rakyat marhaen, barulah FAM menawarkan tiket yang berharga dari $4 hingga $1 (mengikut populariti perlawanan).

FAM melihat Pestabola Merdeka 1957 ini sebagai salah satu cara untuk mereka mengumpul dana pentadbiran dan lawatan.

Hong Kong biadap

Untuk menjayakan Pestabola Merdeka 1957, FAM menjemput 7 buah negara – Hong Kong, Indonesia, Vietnam, Singapura, Burma, Siam dan Kemboja – untuk bertanding.

2 minggu sebelum kejohanan bermula, wartawan Berita Harian, Bob Pidgeon melaporkan hasrat Persatuan Bola Sepak Hong Kong untuk menghantar kelab Hong Kong, Eastern Athletic Association FC sahaja sebagai wakil.

Hasrat Hong Kong in sudah pastilah ditentang warga media kerana Hong Kong dianggap merendah-rendahkan taraf negara-negara lain yang bertanding.

Penjaga gol Malaya disuap bookie

Untuk mempersiapkan skuad Malaya dalam Pestabola Merdeka 1957 ini, FAM melantik Arthur Manuel (setiausaha FAM dan FAS) sebagai pengurus pasukan dan Neoh Boon Hean (bekas penyerang skuad Piala Malaya Selangor) sebagai ketua jurulatih.

Barisan pemain-pemain yang dipilih adalah:

Nama yang menjadi perhatian wartawan adalah Ong Kim Hock (gambar bawah), penjaga gol dari Johor.

Berita Harian melaporkan Ong Kim Hock pernah ditahan polis kerana didakwa oleh Persatuan Bola Sepak Jajahan Kluang kerana ‘tidak mencuba seberapa bolehnya’ dan ‘bermain secara sambil lewa’ ketika perlawanan Kluang vs Syarikat Bas Kowloon.

Menurut Berita Harian, Ong Kim Hock adalah pemain bola sepak Malaya pertama yang dihukum kerana bersekongkol dengan bookie.

Wartawan pada ketika itu begitu risau dengan prospek Kim Hock ‘menjual perlawanan’ sekiranya beliau dipilih menjaga gawang Malaya.

Masakan tidak. Berita Harian melaporkan bookie telah memilih Indonesia dan Hong Kong sebagai pilihan dengan kebarangkalian 3-1.

Sebagai perbandingan Malaya diletakkan dengan kebarangkalian 10-1. Manakala Singapura 40-1.

Malaya gegar Burma yang dibimbing jurulatih asing

Antara tarikan utama Pestabola Merdeka 1957 selain Indonesia dan Hong Kong adalah Burma.

Ini kerana Burma hadir dengan jurulatih import mereka dari Yugoslavia, Mitrovich. Hasil kerja ajaib Mitrovich dapat dilihat apabila Burma menewaskan China 3-1 seminggu sebelum datang ke Malaya.

Akhbar tempatan Malaya pada ketika itu tidak berapa optimistik dengan peluang Malaya dan Singapura.

Wartawan The Straits Times, Norman Siebel menulis pada 1 September 1957:

“Prospek kita di pertandingan ini tak begitu cerah. Tapi taklah terlalu teruk. Bagaimanapun prospek untuk melihat kejutan daripada Malaya dan Singapura adalah mustahil.”

Beliau juga menulis:

“Burma mempunyai kekuatan untuk menjulang kejuaraan kejohanan ini.”

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata-kata buruk padahnya. Pada hari sama artikel akhbar beliau keluar, pasukan Malaya memaksa Siebel ‘menjilat ludahnya sendiri’apabila membelasah Burma 5-2.

Apabila laporan akhbar keluar pada keesokan harinya, semua akhbar memuja gol ke-2 Malaya jaringan penyerang kanan Pulau Pinang, Pang Siang Hock (gambar bawah) dan dicipta oleh penyerang Selangor, Abdul Ghani Minhat.

Sumber: kelabjersikita.blogspot.com

Singapura pula kurang berbasib baik dalam perlawanan pertama. Mereka tewas 1-2 dalam perlawanan ulangan kepada Vietnam selepas seri 5-5 dalam perlawanan pertama.

Daripada 6 gol Singapura ini, 3 daripadanya dijaringkan oleh Peter Corthine (gambar bawah).

Untuk pengetahuan anda, Corthine pernah mewakili Chelsea sebaik balik dari Singapura pada 1959.

Ghani Minhat selesa bermain di kiri berbanding tengah

Selepas menang 5-2 ke atas Burma, Malaya layak ke pusingan akhir bersama Vietnam dan pilihan bersama kejohanan, Hong Kong dan Indonesia.

Turun menentang Vietnam yang keletihan selepas bergelut untuk menang ke atas Singapura, Malaya bagaimanapun gagal memanfaatkan kelebihan ini apabila kalah 1-4.

Lawan seterusnya untuk Malaya adalah Hong Kong. Malaya bermula dengan langkah kiri apabila sebelum perlawanan, Pang Siang Hock tidak mahu bermain.

Situasi ini menyebabkan Ghani Minhat (gambar bawah) terpaksa dipindahkan ke sayap kiri (memandangkan beliau boleh menggunakan kaki kiri).

Sumber: kelabjersikita.blogspot.com

Tak cukup dengan kehilangan servis Siang Hock, Malaya ketinggalan dua kali – 0-2 dan 1-3 – kepada Hong Kong.

Tetapi hasil kehebatan Ghani Minhat (2 gol, 1 assist), Malaya berjaya mengikat Hong Kong 3-3 sebaik tamat perlawanan.

Dalam perlawanan terakhir, Malaya tewas 2-4 kepada Indonesia. Ghani Minhat menjaringkan 2 gol Malaya.

Meskipun kalah, subjek yang menjadi bualan peminat bola sepak Malaya adalah kehebatan Ghani Minhat sejak dipindahkan dari tengah ke sayap kiri. Malah beliau sendiri mengaku lebih selesa bermain di sayap kiri.

Ini membuatkan peminat Selangor dan media mula mendesak Selangor untuk menukar posisi Ghani dari penyerang tengah kepada penyerang kiri.

Malaya mahu ambil bekas bintang Arsenal

Meskipun skuad Malaya tewas, Pestabola Merdeka 1957 merupakan titik mula yang bagus untuk negara kita.

Penganjuran Pestabola Merdeka 1957 sangat berjaya sehinggakan FAM meraih pendapatan jualan tiket sebanyak $140,000 (lebih kurang RM1.2 juta hari ini) dalam masa 8 hari.

Presiden FAM, Tunku Abdul Rahman pula sangat berbangga dengan pencapaian Malaya buat kali pertama sehinggakan mahu mengambil bekas bintang Arsenal, Eddie Hapgood sebagai ketua jurulatih Malaya.

Rumusan

Majoriti negara bola sepak yang berjaya – Jerman, Brazil, Argentina, Uruguay – mempunyai sejarah bola sepak yang lama. Sejak zaman sebelum Perang Dunia Pertama lagi.

Jika diteliti sejarah bola sepak kita, negara kita sebenarnya sudah lama bermain bola sepak. Sejak 1920-an lagi, bola sepak sudah makmur di Tanah Melayu. Tetapi sayangnya kualiti bola sepak kita pada ketika ini menggambarkan seolah-olah negara kita baru mengenal bola sepak 20 tahun lepas.

Jika pada tahun 1957 Tunku Abdul Rahman sudah berfikiran progresif untuk memajukan bola sepak Tanah Melayu, kita seharusnya juga bersikap progresif.

Ini bermakna, jurulatih-jurulatih tempatan kita kena sentiasa belajar ilmu baru. Pengurusan pasukan liga kita perlu membuang sikap jumud dan takut mencuba sesuatu yang baru. Pemain kita pula perlu meninggalkan kelakuan buruk senior-senior mereka.

Dan kita, sebagai penyokong, perlulah mengamalkan budaya menyokong yang progresif seperti menyokong pembangunan bola sepak komuniti, kempen sifar sampah di stadium, sifar pergaduhan dan membeli barang-barang original daripada pasukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN