Jika anda merupakan seorang yang kerap ke stadium untuk menyaksikan perlawanan Liga Malaysia dan tidak menggunakan pas bermusim, pastinya anda tahu berapa harganya untuk sekeping tiket bukan?
Harga tiket bagi sebuah perlawanan Liga Malaysia untuk tempat duduk terbuka adalah pada RM20 manakala RM40 pula lazimnya bagi tiket di dirian utama (grandstand).
Tetapi tahukah anda, harga tiket itu adalah antara yang paling mahal di Asia Tenggara?
Hasil sebuah pendedahan mendapati tiket bagi tempat duduk terbuka untuk saingan Liga Malaysia adalah yang termahal di Asia Tenggara – lebih tepat di tangga kedua.
Di Twitter, seorang pemilik akaun bernama Ta Lao mendedahkan yang purata harga tiket bagi saingan Liga 1 Indonesia adalah yang termahal dengan ianya mencecah $8 sekeping.
Ini bermakna, anda perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya RM35.66 untuk menyaksikan aksi antara Persija Jakarta menentang Persib Bandung.
Ianya menghampiri kadar 50% lebih tinggi berbanding harga purata tiket bagi Liga Malaysia yang terletak pada $4.53.
Ianya menjadikan harga tiket Liga Malaysia sebagai kedua termahal di Asia Tenggara.
Maka tidak hairanlah jika ada penyokong di Malaysia yang mengeluh dengan harga tersebut.
Liga yang dianggap lebih baik berbanding saingan tempatan kita iaitu Thai League mencatatkan purata tiket dijual pada $4.20 (RM18.72).
Manakala dua lagi saingan iaitu V-League di Vietnam serta Philippines Football League mencatatkan purata harga tiket yang jauh lebih rendah.
Purata harga tiket bagi V-League adalah $2.50 (RM11.14) serta $1.82 (RM8.11) untuk saingan domestik di Filipina.
Ia menjadikan Filipina adalah saingan bola sepak Asia Tenggara yang termurah dalam kalangan lima negara.
Perbandingan lengkap tidak dapat dilakukan akibat tiadanya data bagi harga tiket di saingan domestik Singapura, Kemboja dan Laos misalnya.
Walaupun tiket Liga Malaysia dianggap antara yang termahal di Asia Tenggara, ianya masih dirasakan sebagai “mampu milik” oleh majoriti rakyat negara ini.
Hal ini kerana, jika dibandingkan dengan pendapatan harian minimum di negara kita iaitu RM20 – ianya adalah 39.98% sahaja daripada nilai RM20 itu.
Berbanding Indonesia, nilai RM35.66 yang dibayar penyokong untuk menyaksikan aksi Liga 1 adalah amat tinggi kerana jumlah minimum gaji harian mereka adalah RM46.20.
Ini memerlukan seorang penyokong mengorbankan 77.59% daripada gaji harian mereka untuk menyaksikan aksi bola sepak di Indonesia.
Anda boleh rujuk rajah dibawah untuk melihat perbandingan penuh termasuklah untuk negara Thailand, Vietnam dan Filipina.
Are tickets too expensive? Or is minimum wage too low? pic.twitter.com/QsSUpBIWws
— Ta Lao (@talao_) August 4, 2022