Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolaseoak Malaysia (MFL) iaitu Giorgio Pompili Rossi tampil kecewa dengan situasi penyokong yang masih menyaksikan siaran langsung bagi perlawanan domestik secara haram.
Terdahulu, media rasmi Kelantan Darul Naim (KDN) tampil mempromosikan siaran langsung membabitkan aksi kelab tersebut menentang Negeri Sembilan beberapa hari lalu.
Menerusi satu komen di media rasmi mereka, pemilik akaun KDN tampil memberi pandangan untuk para peminat melihat siaran langsung membabitkan pasukan itu sendiri di laman Facebook.
Ini kerana, ada desakan peminat yang menyuarakan hasrat kepada media rasmi KDN untuk memberi pautan kepada aksi membabitkan kelab tersebut menentang Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super 2024/2025.
“Live Astro 803.. tapi biasa ada hok link dengan FB.. nanti search sahaja..” komen akaun rasmi berkenaan dan mendapat banyak reaksi daripada peminat bola sepak Kelantan.
Lebih mengharukan, ada peminat turut menyertakan pautan siaran langsung tersebut di ruangan komen untuk memberi lebih banyak galakan kepada orang ramai menyaksikannya secara haram.
Selepas diselidiki, laman berkenaan turut mempromosikan pertaruhan judi dan situasi ini jelas tidak baik untuk suasana bola sepak di negara kita jika ia berterusan.
Disebabkan itu, KDN telah pun didenda sebanyak RM 5,000 serta amaran pertama selepas kesalahan mereka mempromosikan siaran langsung secara haram tersebut.
“Kami di pihak MFL sangat menjaga privasi kandungan dan tontonan aksi Liga Malaysia di mana kami juga ingin menjaga hak penyiar rasmi iaitu Astro dan RTM yang sentiasa berusaha memberikan liputan terbaik kepada penyokong.
“Kami juga mahu melindungi nilai komersial Liga Malaysia di mana hak penyiaran juga adalah antara punca pendapatan besar kepada kelab-kelab.
“Justeru, apabila ada yang masih mempromosikan siaran langsung secara haram, MFL sememangnya berasa kecewa dan berharap situasi sebegini tidak lagi berlaku.
“Harapan saya adalah penyokong-penyokong tidak sesekali menonton sebarang perlawanan secara haram sebaliknya menonton siaran yang telah disediakan iaitu Astro dan RTM,” jelas beliau menerusi laman rasmi MFL.
Semoga perkara ini menjadi pengajaran buat semua laman rasmi untuk tampil lebih berhati-hati serta tidak mempromosikan siaran langsung secara haram.