Kedah Darul Aman (KDA) musim ini berhadapan dengan krisis di posisi pertahanan mereka apabila mencatat pasukan dengan rekod bolos yang agak tinggi walaupun mempunyai dua pertahanan import.
Kemasukan Jang Suk-won serta Marc Vales selaku pertahanan import kelab tersebut musim ini gagal untuk mengukuhkan posisi itu yang agak goyah selain kerap membuat kesilapan mudah.
Walaupun mereka mengambil langkah awal menjelang jendela perpindahan kedua musim ini apabila KDA melepaskan salah seorang import mereka iaitu Jang, masalah tersebut masih lagi belum dilihat sudah selesai.
Menurut pertahanan kental KDA iaitu Ariff Farhan Md Isa, keputusan untuk menyalahkan hanya Jang sebagai punca kelemahan pertahanan musim ini adalah tidak patut kerana semua pemain perlu bertanggungjawab.
Dalam masa sama, Ariff juga berharap agar pertahanan import baharu yang bakal menggantikan Jang tidak lama lagi mampu memberi perubahan positif di posisi tersebut sekali gus mengembalikan keyakinan penyokong.
Ketepatan 100% hantaran sepanjang perlawanan tanda positif untuk meningkatkan prestasi seterusnya membantu pasukan setiap perlawanan. Walaupun keputusan tidak menyebelahi KDA FC, kekalahan lepas tidak menterjemahkan prestasi sebenar setiap pemain. Keep it up Ariff Farhan! pic.twitter.com/nJ1NDDFOpS
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) April 27, 2022
“Tidak boleh menyalahkan Jang sepenuhnya terhadap masalah pertahanan Kedah kerana semua orang ada peranan masing-masing.
“Macam saya pun ada buat kesilapan dan empat orang yang berada di bahagian pertahanan harus bertindak sebagai satu unit.
“Harap kemasukan tonggak import baharu yang gantikan Jang akan berikan kelainan kepada barisan pertahanan agar lebih stabil untuk harungi baki perlawanan selepas ini.
“Tempoh rehat yang panjang diharapkan mampu mencorakkan sesuatu yang positif dan kami tidak mahu lagi ulangi kesilapan serta kelemahan yang sama,” katanya menerusi laman rasmi MFL.
Untuk rekod, KDA setakat ini mencatat jumlah bolos sebanyak 17 kali daripada sembilan perlawanan dihadapi mereka untuk mendapat kritikan keras daripada para penyokong serta pemerhati bola sepak tempatan.
STATISTIK PEMAIN KDA FC: JANG SUK WON
Setakat ini Jang Suk Won bergandingan baik dengan rakan sepasukan Rodney, Ariff Farhan dan Azmeer di benteng skuad Sang Kenari.
Momentum perlawanan semakin meningkat, berjuanglah sejiwa murni! pic.twitter.com/OrxvQ12JGm
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) April 8, 2022
Selain itu ketiadaan bekas tonggak KDA, Rizal Ghazali dan Baddrol Bakhtiar nyata amat dirasai oleh Ariff setelah kedua-dua pemain tersebut berhijrah ke Sabah musim ini.
Kesan ketiadaan mereka nyata memberi kesan buat KDA apabila skuad tersebut tampil dengan kurang menyerlah pada tahun ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Walaupun begitu, Ariff tetap optimis dengan pasukan yang dijangka mampu untuk kembali di landasan sebenar untuk merebut kejuaraan pada musim ini.
“Kami sebenarnya masih dalam proses menerima ketiadaan Baddrol dan Rizal, dua pemain senior yang cukup berpengaruh kepada pasukan.
“Memang masih terasa ketiadaan mereka yang sentiasa menjadi ketua kami serta dihormati di atas padang.
“Kami hormat keputusan yang dibuat oleh Baddrol serta Rizal walaupun akui sedikit sedih melihat mereka pergi ke Sabah.
“Saya dan pemain akan cuba meneruskan perjuangan pada musim ini walaupun ada perbezaan selepas ketiadaan Baddrol dan Rizal,” katanya.
Terkini, KDA berjaya mengikat bekas pertahanan Melaka United iaitu Akmal Zahir untuk terus memperkuatkan posisi pertahanan Kedah menjelang saingan Piala AFC yang bakal berlangsung tidak lama lagi.