Christophe Gamel selaku pengendali baharu Sri Pahang menjangkakan satu perlawanan sengit mungkin dipamerkan lawan mereka, Manjung City FC pada aksi tertunda pusingan pertama Piala FA hari Rabu ini di laman sendiri, Stadium Darul Makmur.
Untuk itu, beliau menuntut anak buahnya supaya sentiasa kekal fokus dalam waktu latihan sambil mengharapkan para pemainnya dapat memberi sesuatu yang baik dalam usaha mereka mencatat kemenangan pertama sekali gus layak ke pusingan seterusnya.
“Sebenarnya, kami tidak boleh memandang mudah dan menghormati lawan termasuk pertemuan dengan Manjung City.
“Ini kerana Manjung City datang ke Kuantan semestinya mahu mencatat kemenangan kerana bagi saya mereka sebuah pasukan yang bagus dengan persediaan yang dilakukan.
“Oleh itu, kami perlu bermain dengan baik untuk menewaskan mereka kerana mara ke pusingan seterusnya,” katanya menerusi Harian Metro.
Untuk rekod mengenai pasukan lawan mereka iaitu Sri Manjung City, kelab yang beraksi di Liga M3 itu setakat ini masih belum mencatat kekalahan dalam empat perlawanan yang dihadapi mereka.
Pasukan yang berpangkalan di Perak itu juga kini sedang memimpin carta Liga M3 pada Kumpulan A dengan mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan serta satu keputusan seri untuk membuktikan mereka bukanlah calang-calang pasukan yang boleh diambil mudah oleh Sri Pahang.
Jelas Gamel, biarpun ada segelintir pemainnnya baru-baru ini dijangkiti Covid-19, harapan beliau supaya Sri Pahang mampu memberikan yang terbaik pada perlawanan akan datang, apatah lagi mereka beraksi di laman sendiri.
“Saya harap semua pemain dapat memberikan komitmen 100 peratus sepanjang perlawanan untuk menafikan peluang Manjung City,” katanya.
Sri Pahang yang pada musim ini rata-ratanya dibarisi oleh pemain baharu termasuk empat import iaitu Mahmoud Za’tara, Billy Ketkeophomphone, Mamadou Samassa, serta Johan Martial. Skuad ini turut mengekalkan import tengah berbakat mereka pada musim lalu iaitu Manuel Hidalgo.
Selain itu, pasukan tersebut juga bakal menaturalisasikan dua pemain tengah iaitu Sergio Aguero dan Lee Tuck yang pada musim lalu dipinjamkan ke kelab lain di saingan Liga Super.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!